
Bagi mendapatkan penampilan ini, Hyundai menambah
lubang ambilan udara yang besar pada bahagian kiri dan kanan bampar hadapan, lencana N Line pada gril, skirt sisi berwarna hitam dan
rim berukuran 19 inci. Bahagian belakang turut diserlahkan lagi menerusi kehadiran spoiler berwarna hitam, diffuser serta sepasang muncung ekzos berkembar.

Di dalam, terdapat kemasan krom hitam pada papan pemuka dan konsol tengah, tempat duduk sport dengan sulaman ‘N’ untuk pemandu dan penumpang hadapan, serta jahitan kontras berwarna merah sebagai penyudah pada bahagian stereng dan tempat duduk.

Maklumat mengenai enjin dan prestasi Sonata N Line masih belum didedahkan namun model itu berkemungkinan besar didatangkan dengan
enjin turbo 2.5-liter empat silinder dengan 275hp. Bagaimanapun, terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa ia mungkin mempunyai sehingga 290hp.

Buat masa ini, Sonata generasi kelapan boleh didapati dengan dua enjin Smartstream iaitu
enjin NA 2.5-liter empat silinder yang menghasilkan 191hp dan 245Nm, dan enjin turbo 1.6-liter empat silinder dengan 180hp dan 264Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan
transmisi automatik lapan kelajuan dan pacuan roda hadapan.