Laman Utama
Hormat Suami, Bella Dally Pilih Tidak Berlakon Sama Dengan Nazim Othman
Pelakon dan selebriti Bella Dally memberitahu demi menghormati suaminya, Ariff Izuddin Mohd Radzali, dia tidak akan berlakon sama dengan Nazim Othman.
Nazim adalah mantan suami Bella. Mereka yang menikah pada 2016, berpisah pada 2018.
Bella kini hidup bahagia dan harmoni bersama suami yang banyak mendukung perjalanan peribadi dan kariernya, Ariff selepas mendirikan rumah tangga pada 2019.
“Saya seorang yang profesional. Tapi saya memilih untuk menghormati suami. Maka saya tidak akan berlakon sama dengan Nazim,” katanya ringkas sewaktu ditanya media di ibu kota.
Si cantik manis berusia 31 tahun itu bagaimanapun memberitahu tidak pernah memadam kecintaan terhadap dunia lakonan tetapi mengakui lebih berminat untuk menerima watak berkaitan dengan memperkasa wanita.
“Saya masih berlakon walaupun sekarang memang agak perlahan. Jika boleh saya mahu terbabit dengan naskhah yang bersifat memperkasa wanita berbanding menjadi wanita teraniaya,” katanya.
Penggemar sukan berbasikal ini kemudian menyatakan sepanjang memilih untuk tidak berlakon, dia lebih banyak menghabiskan masa sebagai seorang pereka konten.
Memiliki lebih dua juta pengikut di Instagram, Bella banyak memberi perkongsian tentang aktiviti dan gaya hidup sihat yang diamalkan.
“Jika memenuhi komitmen dengan klien pun, ia mesti masih berkaitan dengan gaya hidup saya.
“Saya rasa buat masa ini agak seronok menjadi pereka konten kerana ia tidak memakan masa yang lama seperti berlakon. Jadi saya punya lebih banyak masa yang boleh dihabiskan bersama keluarga atau suami,” katanya mengakhiri perbualan.
Must-Watch Video