Honey Trap: Padat, Tegang & Penuh Plot Twist! Jom Recap 4 Episod Pertama
Astro Originals kembali dengan siri baharu berjudul Honey Trap, yang mengisahkan seorang perisik wanita jelita yang terdorong oleh misi peribadinya untuk menjatuhkan sebuah kumpulan pemberontak di Masraya.
Namun, apabila kerjasama antara mereka semakin erat, integritinya mula tercabar apabila hubungan romantik yang tidak diduga mula terjalin.
Kini berbaki enam episod lagi, jom kita imbas kembali segala yang telah berlaku sepanjang empat episod pertama yang anda mungkin terlepas!
EP 1: Mata Hari
Honey Trap bermula dengan Surya Gabriel, seorang ejen risikan MSB yang sembunyikan penyakit skizofrenianya, menyamar di Arab Street, dengan menukar rupa dan identiti untuk bertemu dengan Aiman, seorang pemberi maklumat di lorong Chinatown. Namun, maklumat yang disampaikan membawa kepada penembakan misteri, dan Surya digantung tugas selepas tribunal tidak menemui senjata pada mangsa.
Enggan berdiam diri, Surya mencari semula Aiman, yang sempat membisikkan bahawa CAKRA telah menyusup masuk ke dalam MSB. Dalam usaha membongkar kebenaran, Surya menyamar dan memikat seorang ekspatriat, Sheik Adam, di kelab jazz, demi mendapatkan rakaman bukti di tempat kejadian.
Sementara itu, Perdana Menteri Rahman merancang sambutan besar negara, iaitu 1000 hari dalam pemerintahannya, tidak sedar CAKRA sedang merancang serangan ke atas mereka. Megat, ketua MSB, memberi amaran kepada kabinet dan juga tentang pasukan MSBnya yang kekurangan sumber akibat pemotongan bajet.
Surya menyelinap masuk ke tapak pembinaan terbengkalai, menemui mayat tiga anggota polis pengiring yang dibunuh, dan nyaris maut ketika dikejar oleh anggota CAKRA sebelum diselamatkan oleh pasukan khas MSB. Rakaman langsung insiden itu memaksa Surya akhirnya mengaku kepada Megat: CAKRA ada dalang dalam MSB.
EP 2: The Devil's Work Hard
Kesan serangan ke atas konvoi Menteri Ekonomi menggegarkan seluruh negara.
Dalam mensyuarat tertutup, Rahman merangka strategi bersama kabinetnya untuk mengawal naratif dan memanipulasi ketakutan rakyat demi kepentingan politik. Tindakannya memperlihatkan kerajaan Rahman lebih mementingkan persepsi rakyat berbanding kebenaran.
Dalam masa yang sama, Surya mendapati beberapa fail penting tentang kebenaran disebalik kematian ayahnya, Gabriel Wong yang ada kaitan dengan CAKRA tetapi sukar dikesan telah dipadam, dipercayai oleh orang dalam MSB. Dalam keadaan curiga dan tertekan, dia berpaling kepada rakan seperjuangannya, Teng Hui, yang berjaya menjejak punca kehilangan fail tersebut, yang datang dari dalam organisasi mereka sendiri. Keadaan menjadi lebih gelap apabila mayat Aiman yang telah lama hilang muncul dengan tembakan di dahi, ‘signature’ milik Aziz.
Ketika ketegangan dan rasa tidak percaya semakin menular dalam MSB, Surya mencadangkan langkah berani kepada Megat: operasi “Canary Trap” satu operasi rahsia yang menyebarkan maklumat palsu ke aset-aset MSB untuk mengenal pasti si pengkhianat. Pada masa yang sama, dia tumpukan perhatiannya kepada Shidi, salah seorang tahanan dari Kampung Bhakti yang mungkin ada kaitan rapat dengan CAKRA. Selepas sesi soal siasat yang tegang, Surya beri Shidi satu pilihan menjadi asset untuk MSB atau merengkok dalam penjara.
Demi menyelamatkan ibunya Shidi akhirnya akur. Dengan izin Megat, latihan Shidi pun bermula dan masa semakin mendesak.
Dalam babak terakhir, seorang anggota CAKRA yang berlumuran darah diseret untuk berhadapan dengan Aziz. Aziz berang apabila menyedari wujudnya pengkhianat dalam rangkaiannya yang selama ini dikawal rapi. Tidak lama selepas itu, Surya dan Megat menerima satu foto mengejutkan gambar ahli CAKRA yang sama telah mati. Ahli Cakra itu ada kaitan dengan aset di bawah kendalian salah seorang ejen utama MSB.
Episod ini berakhir dengan pendedahan mengejut: CM#1, ejen kanan CAKRA, menyamar sebagai penunggang pengiring konvoi menteri, memberi tanda ada ancaman besar yang bakal meletus. Dalam dunia yang penuh pengkhianatan dan realiti yang rapuh, Surya mungkin satu-satunya harapan untuk selamatkan Masraya—jika dia dapat mengawal dirinya sendiri.
EP 3: Only The Mole Says There’s No Mole
Ketegangan antara Surya dan Megat semakin memuncak apabila Megat menegaskan bahawa Faisal Ketua Operasi MSB bukanlah pengkhianat, walaupun bukti mengaitkan operatif CAKRA yang mati kepada aset bawah kendalian Faisal. Rancangan “canary trap” ciptaan Surya mula menunjukkan kelemahan.
Dalam masa yang sama, Shidi memulakan penyamaran pertamanya bekerja di ‘soup kitchen’, satu operasi untuk membina kepercayaan dengan penyokong CAKRA. Ini merupakan langkah awal untuk menyusup masuk ke rangkaian musuh.
Bagi membuktikan kesetiaan dan inisiatifnya, Shidi melancarkan satu rompakan berani secara solo dengan sokongan daripada Surya. Sasarannya ialah Fakri Irfan, pemilik agensi Umrah yang menipu jemaah dan menyalurkan rasuah kepada Rahman.
Pada masa yang sama, Megat menyamar untuk menyiasat aset Faisal. Dia mendapati aset tersebut sebenarnya dipaksa oleh CAKRA untuk menjadi ejen dua muka. Megat berang dan menuduh Surya bahawa rancangan “canary trap” telah gagal.
Surya yang dihantui rasa bersalah dan simptom skizofrenia mula hilang kawalan menenggelamkan dirinya dalam alkohol. Shidi menjumpainya dalam keadaan lemah dan tidak waras. Dalam babak yang menyentuh hati, Shidi memberi semangat, menggesa Surya untuk terus kuat dan mengambil ubatnya. Hubungan mereka semakin rapat.
EP 4: Bad Romance
Episod ini bermula dengan trauma ketika Surya masih muda, kenangan pahit atas kematian ayahnya, Gabriel Wong, penderitaan ibunya akibat diganggu pengutip hutang, dan diagnosis awal Surya sebagai penghidap skizofrenia. Megat, yang ketika itu masih muda, menemui Surya dan ibu Surya buat pertama kali dengan berpura-pura sebagai pekerja sosial titik permulaan kepada hubungan kompleks antara Surya dengan MSB.
Kembali ke masa kini, Surya sedar daripada kecederaan di hospital selepas kegagalan misi sebelumnya. Ketegangan antara Surya dan Megat memuncak apabila Megat mendedahkan bahawa CAKRA berjaya meloloskan diri, sekali gus meningkatkan kecurigaan Surya tentang pengkhianatan dalam MSB.
Dalam situasi penuh curiga ini, Surya mula bergantung kepada Shidi yang memberikan sokongan moral kepadanya, sekali gus mengeratkan lagi hubungan antara mereka berdua. Bertekad untuk membongkar pengkhianat dalam MSB dan hapuskan CAKRA, Surya dan Shidi menyusup masuk ke dalam arkib digital MSB untuk dapatkan satu fail penting mengenai Gabriel Wong telah dipadamkan oleh Faisal. Surya bersemuka dengan Faisal di arkib fizikal dan berjaya merampas fail tersembunyi itu. Saat membaca isi fail tersebut, Surya mengalami kejutan besar apabila mengetahui punca sebenar kematian Gabriel.
Jangan lupa untuk saksikan Honey Trap Kini di OnDemand, Astro GO bermula jam 12 tengah malam, manakala jam 9 malam di Astro Citra (saluran 108), serta hari Isnin jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), serta sooka.