HIBURAN
Hannah Halim Nafi Buat Hidung - “Buat Masa Ini Tidak, Tapi Akan Datang Saya Tak Tahu”
Pelakon baharu, Hanna Halim tampil menafikan dakwaan dirinya menjalani pembedahan hidung semata-mata untuk kelihatan lebih cantik.
Menjelaskan perkara sebenar, Hanna berkata kehadirannya ke hospital baru-baru ini bukanlah untuk tujuan kosmetik seperti yang disangka sesetengah pihak, sebaliknya bagi merawat masalah resdung yang sudah lama dihadapinya.
“Ya saya memang ada masuk hospital tapi bukan buat pembedahan hidung cuma pembedahan sebab saya alami resdung.
“Tak ada apa-apa perubahan pun, kalau tengok gambar saya dulu dan sekarang sama je,” katanya kepada Gempak.
Hannah juga berkongsi bahawa keadaan kesihatannya semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini, apabila resdungnya menjadi kronik hingga membawa kepada beberapa komplikasi lain.
“Kalau ikutkan saya ada sinus ni dah lama cuma sejak kebelakangam semakin kronik sampai ada jangkitan kuman, gusi berdarah dan banyak lagi. Sebab tu saya buat juga pembedahan.
“Tempoh penyembuhan lebih kurang dua bulan dan sekarang baru dua minggu,” jelasnya.
Ditanya mengenai kemungkinan melakukan pembedahan kosmetik pada masa hadapan, Hanna tidak menolak sepenuhnya, walaupun buat masa ini perkara itu tidak menjadi keutamaannya.
“Buat masa ini saya tak terfikir nak buat pembedahan kosmetik untuk cantikkan wajah, tapi pada masa akan saya tak tahu.
“Saya lebih sukakan natural beauty sebab bagi saya, bila hati kita bersih dan buat baik dengan orang, kecantikan tu akan terpancar dekat wajah kita.
“Itu pendapat saya tapi saya tak cakap orang yang buat pembedahan kosmetik berhati busuk,” kongsinya lagi.
Untuk info, Hanna bakal nuncul menerusi filem terbitan Metrowealth International Group (MIG) iaitu Citra Apartment yang turut dibarisi pelakon Elisya Sandha, Liang Chia, Razdan Shamsudin dan ramai lagi.
Must-Watch Video