Laman Utama
"Habis Modal Beli Barang Nak Nego" - Kelantan Batalkan Bazar Ramadan & Aidilfitri Tahun Ini
Lupakan hasrat untuk membeli-belah di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di Kelantan apabila kerajaan negeri memutuskan untuk membatalkan penganjuran kedua-dua bazar berkenaan semalam.
Kenyataan tersebut dibuat oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan & Kesihatan, YB Dr. Izani Husin menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Hal itu diputuskan sebagai langkah untuk membendung penularan wabak pandemik COVID-19 yang semakin meningkat di negeri terbabit.
"Bazar Ramadan bazar Aidilfitri seluruh Kelantan dibatalkan. Madinah Ramadan ditukar menjadi pusat rawatan dan kuarantin COVID-19 berisiko rendah (PKRC).
"Ikhtiar demi membendung penularan COVID-19," tulis beliau.
Susulan pengumuman terbabit, penduduk di sekitar negeri Cik Siti Wan Kembang meluahkan kekesalan dan impian yang ranap terutama pengusaha jualan di bazar-bazar yang dimaksudkan.
Malah, ada yang terpaksa berputih mata apabila sudah membelanjakan sejumlah modal untuk membeli barang jualan serta membayar tapak bazar Ramadan tahun ini.
"Kesian pula hok abis modal dah beli barang-barang nego (berniaga). Tapak bazar bayar dah, kalau jenis sumber pendapatan keluarga dengan nego gak, peritlah sikit," tulis seorang pengguna di ruang komen Faceboo Dr. Izani.
"Boleh bantu sediakan alternatif untuk bantu peniaga yang terjejas, beri kebenaran mereka berniaga di tepi jalan atau tempat terbuka dengan patuh SOP tanpa perlu mohon kebenaran PBT untuk Ramadan ini saja," saran pengguna lain.
"Tak ada bazar tak ada masalah, hak mustahaknya sembahyang terawih harap-harap boleh diteruskan mengikut SOP yang ditetapkan," tambah pengguna lain.
Bagaimanapun, sebilangan besar tidak membantah keputusan terbabit dan melihatnya daripada sudut terbaik untuk membendung COVID-19.
Kes harian jangkitan COVID-19 di Kelantan meningkat secara mendadak dengan 171 kes pada Sabtu dan 98 kes pada Ahad.
Must-Watch Video