,
Laman Utama

#GTheUntoldStory: Semangat Merdeka Jagoan Sukan Jojo Ghazali, Lego Sam, Iman Hakim & Sharul Aimy!

Amri Hassan
30/08/2023
07:55 MYT
SAAT Jalur Gemilang berkibar ketika pingat emas dikalungkan ke leher keempat-empat jaguh muda ini, rakyat Malaysia menumpang rasa bangga.
Biar dari latar belakang dan arena berbeza, jagoan Muay Thai, Jojo Ghazali, breakdance (Lego Sam), kickboxing (Iman Hakim) dan gimnastik (Sharul Aimy) berkongsi hal yang sama; semangat, perjuangan dan cita-cita!
Ikuti temubual eksklusif G The Untold Story bersama mereka!

JOJO GHAZALI

G The Untold Story: Selepas kemenangan di kejohanan besar Muay Thai One Championship di Thailand beberapa bulan lalu, nama Jojo Ghazali meniti di bibir ramai, apakah perasaannya? Jojo Ghazali: Betul tu, saya sedar akan perkara terbabit (viral). Sebelum ini pengikut di Instagram saya cuma 5,000 orang tapi sekarang dah naik hampir 100,000. Kalau berjalan di luar pun dah ada orang tegur, dalam erti kata lain bangga juga apabila orang Malaysia sedar dan menghargai kejayaan saya bertanding dengan negara luar.
#G: Tak kisah orang ambil tahu tentang kehidupan peribadi Jojo? JG: Saya tak risau sangat mungkin memang destiny.
#G: Boleh ceritakan semula momen kemenangan di One Championship dan apa target selepas ini? JG: Target saya untuk mendapatkan full time kontrak dengan One Championship bernilai AS$100,000 di Bangkok, Thailand.
One Championship beri lebih banyak pendedahan tentang sukan Muay Thai, dan memberikan lebih banyak peluang kepada kami (atlet Muay Thai). Saya beruntung sebab ada coach dari Thailand yang melatih saya sejak dari kecil sampai sekarang.
#G: Sesulit mana perjalanan Jojo dalam sukan Muay Thai ini? JG: Mula-mula susah, nak pergi fight pun pakai duit sendiri.
Dahulunya, saya berlawan di Thailand menggunakan duit sendiri, kiranya itu sebahagian daripada investment, kalau menang berbaloi, kalau kalah ambil jadikan pembakar semangat. Tapi syukur sekarang saya dah boleh start buat duit (menang kejuaraan) dan sekarang sudah mula ada sponsor.
Jadi, bagi saya kurang ajarlah kalau saya nak malas-malas berlatih sebab saya tahu di belakang saya ramai yang menyokong, mengidolakan saya!
#G: Benarkah sukan menyatu padu rakyat Malaysia? JG: Betul, sebab kami yang mewakili Malaysia berlawan dengan negara-negara lain, begitu juga jika berlawan sesama sendiri, perlu berganding bahu! Malah, kalau saya di gelanggang pun, saya dapat lihat ada pelbagai bangsa yang menyokong saya.
#G: Apakah erti kemerdekaan yang anda faham? JG: Saya bangga menjadi rakyat Malaysia dan bangga untuk membawa nama negara ke peringkat tertinggi, mahu buktikan kepada semua orang bahawa Malaysia pun mampu cemerlang dalam Muay Thai cuma mungkin sebelum ini tak cukup peluang dan latihan yang betul.
#G: Perasaan anda apabila melihat Jalur Gemilang dikibarkan di luar negara? JG: Jalur Gemilang adalah simbol kemerdekaan Malaysia. Saya bangga terutama bendera kita dikibarkan di Thailand, apatah ketika berlawan dengan sukan Muay Thai yang sinonim dengan negara terbabit. Walau saya kalahkan orang Thailand, mereka sendiri sorak saya, bangga dapat tunjukkan bendera saya.
#G: Siapakah tokoh pejuang kemerdekaan yang anda kagumi? JG: Arwah datuk saya sendiri sebab dia merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera, beliau berjuang mempertahankan Malaysia melawan komunis.
Dia yang banyak memberi nasihat tentang hidup, cara membawa diri dan adab. Masih saya ingat pesanannya; 'kita kena ada keyakinan diri walaupun orang tak percayakan kita, kalau tak ada self believe susah nak sampai ke peringkat tertinggi'.

LEGO SAM

G The Untold Story: Difahamkan Lego Sam berkecimpung dalam Breakdance sejak 15 tahun lalu, apa yang boleh dikongsikan lebih lanjut? Lego Sam: Saya sudah berkecimpung dalam sukan Breakdance atau dipanggil juga Breaking ini sejak 15 tahun lalu. Ya, ia satu perjalanan yang panjang.
Sukan ini masuk ke Olimpik 2024 dan tahun ini saya akan sertai semua kejuaraan Breaking, setiap bulan akan berlawan untuk kumpulkan merit. Saya rasa gembira sebab apabila sukan ini dipertandingkan di Olimpik, ia akan membantu penari mendapat tajaan dan sokongan daripada kerajaan.
Masa olimpik hanya pilih 16 orang, tapi ranking saya sekarang 60. Sampai ke hujung tahun saya kena pastikan saya berada di 16 terbaik. Saya perlu lebih berdisiplin sebab saya tiada jurulatih tetap, cuma saya bertuah dikelilingi kenalan yang mendapatkan tajaan dan nasihat.
Seperkara lagi, breaking ini satu tarian bersifat 'art form', ada orang tak setuju ada yang setuju. Bagi saya ini satu perkembangan positif kepada generasi akan datang.
#G: Sukar tak untuk mengangkat sukan ini dan memperkenalkan kepada komuniti? LS: Sejujurnya sebelum ini saya tidak mendapat banyak tajaan untuk membiayai sesi latihan dan kejuaraan yang saya sertai, namun sekarang sudah ada syarikat besar yang 'melabur' untuk sukan ini.
#G: Sesusah mana untuk anda mencari dana? LS: Saya bertuah kerana saya ada platform media sosial (Instagram) sebagai KOL. Apabila ada syarikat yang tahu saya akan ke Olimpik nanti, mereka menyatakan hasrat untuk menyokong. Sebelum ini saya menggunakan duit sendiri.
Awal-awal memang struggle. Apabila menang satu pertandingan pun tak banyak, cuma RM200 ke RM300. Tak cukup nak cover duit minyak pun. Tapi saya memang suka Breaking, ini passion saya dan saya percaya hal yang baik akan datang suatu hari nanti.
#G: Selain cabaran dana, adakah anda juga berdepan kesukaran daripada fasiliti latihan? LS: Biasanya saya akan berlatih di stesen MRT, mereka yang lalu akan tanya macam mana nak belajar. Jadi, saya hanya akan berkongsi apa yang saya tahu. Saya nak buka studio untuk melatih generasi akan datang. Selain saya, belum nampak lagi siapa yang akan gantikan selepas ini.
#G: Malu tak berlatih di stesen MRT? LS: Saya okey saja, sebab saya tahu apa target saya. Saya tak kisah kalau orang pandang pelik pun bila orang lalu-lalang tengok saya berlatih.
#G: Masyarakat lazimnya punyai persepsi negatif terhadap golongan lelaki yang terlibat dalam bidang tarian biarpun breakdance, apa komen anda? LS: Kita ada banyak pecahan tarian, lelaki atau perempuan sama saja kalau menari, bergantung pada gaya yang mereka cenderung. Tak baguslah fikir negatif, saya membuka fikiran saya kerana pada akhirnya percaya pada diri sendiri dan keupayaan yang ada.
#G: Bagaimanakah untuk pecahkan stereotaip itu? LS: Lebih yakin dan tahu apa yang anda lakukan. Anda ada peluang sekali seumur hidup dan anda lakukan untuk diri sendiri bukan orang lain. Jadi, teruskan apa yang anda suka dan berseronoklah!
#G: Adakah sukan Breaking juga punya risiko kecederaan seperti sukan-sukan lain? LS: Cabaran terbesar saya adalah kecederaan. Saya pernah patah lengan kiri saya, dislocate tulang belakang.
Selain itu, ada yang letak persepsi negatif tentang bidang tarian. 'Boleh untung ker?'. Ada kawan-kawan saya yang sudah pun berkahwin, beli kereta dan macam-macam lagi lah. Tapi ini impian saya dan saya akan kejar.
Hakikatnya, ada yang terkejut, ada yang cakap macam samseng pun boleh masuk (breakdance). Mungkin mereka tak tahu tentang budaya Breaking itu sendiri. Saya rasa inilah masa terbaik untuk publik lebih faham dan cakna tentang Breaking.
#G: Anda juga menjadi salah seorang daripada juri kepada pertandingan street dance terbesar Malaysia, Battleground Malaysia yang akan bersiaran tidak lama lagi. Apa yang anda jangkakan? LS: Untuk Battleground Malaysia 2023, ekspektasi saya pastinya untuk orang lebih tahu menari juga boleh melatih lebih yakin. Saya mencari generasi baharu untuk berkongsi minat di pentas yang sama.
#G: Adakah anda bersetuju dengan frasa sukan menyatupadukan rakyat Malaysia? LS: Saya setuju, sejak saya kecil dan melihat Datuk Wira Lee Chong Wei bertanding misalnya, ia menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia terutamanya apabila lepak mamak. Semua orang akan bersorak meraikan kejayaan seseorang atlet itu. Tak kira Cina, Melayu atau India. Same energy!
Oleh kerana itu juga, Datuk Wira LCW adalah idola saya! Saya lihat sejarah dia dari kecil, kesukaran beliau, namun dia punyai disiplin dan semangat yang tak pernah luntur. Saya respek mentaliti beliau.
#G: Bagaimanakah perasaan anda melihat Jalur gemilang dikibarkan ketika kemenangan di Sukan Sea di Kemboja baru-baru ini? LS: Saya rasa inilah waktu yang saya nanti-nantikan. Saya menangis! Saya bangga dengan diri sendiri dan bawa semangat 'Malaysia Boleh' di peringkat antarbangsa.

IMAN HAKIM

G The Untold Story: Dari bidang taekwondo ke kickboxing dan terus menang emas di Sukan Sea Kemboja, ceritakan perjalanan anda? Iman Hakim: Sebelum ini saya aktif dalam sukan taekwondo dari tingkatan satu dan sebenarnya baru setahun bersama kickboxing. Asalnya saya minat Muay Thai sebab ayah saya seorang peninju.
Tapi dahulunya sukan itu tiada dalam Sukma, jadi saya memilih bidang taekwondo.
Dipendekkan cerita, saya dapat panggilan daripada Persatuan Muay Thai Terengganu untuk menyertai Sukma dalam kickboxing seterusnya mewakili negara tahun ini dalam Sukan Sea dan Alhamdulilah saya menang pingat emas!
Ketika itu, perasaannya bangga, gembira sebab sebelum ini sepanjang bersama sukan taekwondo tak pernah dapat emas. Saya rasa kerja keras selama ini berbaloi.
#G: Sukan menyatupadukan rakyat Malaysia, anda setuju? IH: Saya setuju kerana dalam kem atlet semua bangsa ada, berlatih sama-sama cuba untuk banggakan Malaysia. Memang semangat bersatu-padu itu kuat. Setiap kali pergi bertanding kena pergi dengan rasa nak menang!
#G: Apakah perasaan melihat Jalur Gemilang dikibarkan di negara luar ketika kemenangan anda? IH: Jalur Gemilang lambang kecemerlangan, ketika itu rasa bangga dengan diri sendiri. Ayah saya tengok dekat TV pun bangga, apatah lagi saya di situ. Memang sebak!
#G: Apakah erti kemerdekaan bagi diri anda? IH: Kecemerlangan. Kejayaan mengharumkan nama negara!
#G: Siapakah tokoh kemerdekaan yang paling anda kagumi? IH: Datuk Azizul Hasni Awang, beliau memberikan inspirasi dan semangat juang yang tinggi untuk membanggakan rakyat dan Malaysia.
#G: Jika anda hidup di zaman sebelum Kemerdekaan, siapakah anda? IH: Pahlawan, sebab saya suka martial arts dan dapat membantu rakyat daripada penjajah.

SHARUL AIMY

G The Untold Story: Boleh Sharul ceritakan semula kepada kami kenapa minat dengan sukan gimnastik? Sharul Aimy: Ia bermula dari umur 9 tahun, mula-mula daripada main-main saja tiba-tiba jadi serius. Saya pernah sertai satu tournament dan tak sangka dapat selection masuk sekolah sukan pada umur 10 tahun.
#G: Adakah sukan gimnastik ini mendapat sokongan keluarga? SA: Mula-mula mereka kurang tahu tentang sukan ini sebab pada awalnya saya hanya minat bermain bola. Ketika mula masuk sekolah sukan dan biasakan diri, keluarga pun mula memahami.
#G: Bagaimana rutin latihan Sharul setiap hari? SA: Kami berlatih pada waktu pagi seawal 7 pagi, petang pula sambung pukul 3 petang. Dah terbiasa dengan rutin ini, sesi latihan 3-4 kali.
#G: Setiap sukan tak lari daripada kecederaan, bagaimana pula Sharul? SA: Paling teruk saya patah lutut tahun 2019. Ketika itu sebulan sebelum Sukan SEA Filipina, saya tersalah landing ketika latihan dan patah. Ketika itu down sikit.
5 bulan tempoh diperlukan untuk pemulihan dan sepanjang tempoh itu saya hanya duduk atas katil saja, tak boleh banyak bergerak. Ketika itu plan macam tak nak sambung (sukan) dah, tapi bila dah boleh berjalan balik terus kembali bersemangat.
#G: Sharul mulai viral ketika Sukan SEA Vietnam, bagaimana anda beradaptasi dengan situasi itu? SA: Mula-mula tu tak tahu pun, dah viral kat Vietnam sebab volunteer tunjukkan video. Balik Malaysia barulah tahu dah viral. Setakat ini tak ada orang kacau lagi dan tak pernah timbul sebarang masalah. Setakat orang minta nak bergambar itu biasalah.
#G: Pernah tak terlintas sampai bila Sharul akan aktif dalam bidang gimnastik? SA: So far plan saya nak masuk Olimpik dahulu, lepas tu baru fikir. Sebelum 'bersara' saya nak dapatkan result bagus dulu.
#G: Pernahkah Sharul ditawarkan berlakon? SA: Offer memang ada, tapi sekarang fokus dengan sukan dahulu, mungkin bukan sekarang. Selepas ini baru fikir fasal dunia glamor.
#G: Bagaimana perasaan Sharul melihat Jalur Gemilang dikibarkan di luar negara tanda kemenangan anda? SA: Terharu, sebab bukan senang nak ke negara luar untuk bertanding. Negara kita pun keluarkan modal untuk hantar ke sana, jika menang itu ibaratnya bittersweet memories bagi mana-mana atlet.
#G: Siapakah idola Sharul dalam sukan gimnastik? SA: Ng Shu Wai, sekarang dia dah jadi jurulatih gimnastik. Selain sama sukan dengan saya, beliau juga banyak mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Hiburan

Versi Eksklusif Pendekar Awang & Tok Gajah: Darah Indera Gajah Di Astro First!

gempak
12/09/2024
02:33 MYT
Platform yang membawakan filem-filem terbaik terus ke rumah anda, Astro First akan membawakan sebuah lagi filem aksi epik tahun ini iaitu Pendekar Awang & Tok Gajah: Darah Indera Gajah menerusi platform Astro saluran 480 atau On Demand dan Astro GO, serta peranti pilihan anda melalui sooka bermula 12 September ini.
Sukan

Jojo Ghazali Dedah Patah Tangan 6 Minggu Sebelum Tumbangkan Josue Cruz

gempak
09/09/2024
13:22 MYT
Jaguh Muay Thai negara, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar mendedahkan dia patah tangan sebelum pertarungan dengan Josue Cruz dalam aksi ONE 168: Denver pada Sabtu.
Hiburan

Sertai Kelas ‘Muay Thai’, Yusof Bahrin Akui Pelakon Perlu Ada Seni Asas Pertahankan Diri - “Kalau Nak Masuk Set Baru Nak Belajar Memang...”

gempak
07/09/2024
12:55 MYT
Menurut Yusof, pelakon yang mempunyai asas mempertahankan diri akan menjadikan babak berlawan itu nampak lebih menyakinkan dan cantik.
Gaya Hidup

Jojo Ghazali Segak Berbaju Melayu Di Amerika Syarikat, Ready Masuk Gelanggang Esok!

gempak
05/09/2024
10:21 MYT
Peninju Muay Thai popular tempatan, Johan Ghazali mencuri tumpuan apabila menggayakan sepersalinan baju Melayu pada sesi temubual sebelum acara ONE 168 yang dijadualkan berlangsung esok.
Sukan

"Saya Akan Bangkit Semula" - Jojo Ghazali

gempak
08/06/2024
09:30 MYT
Sensasi muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar melaungkan amaran akan bangkit lebih kuat selepas tewas kepada juara WMF Muay Thai lima kali dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat dalam pertarungan ONE 167 di Impact Arena, Bangkok, Thailand pada Sabtu.