Hiburan
#GempakWrapped2024: Serangan Asid Faisal Halim, Isu Gender Imane Khelif, Cemerlang Olimpik Lee Zii Jia, Aaron-Wooi Yik Antara Momen Diingati Arena Sukan
Tahun 2024 menyaksikan dunia sukan antarabangsa mahupun dalam negara diwarnai dengan pelbagai kejayaan, drama, dan kontroversi yang hangat. Dari kejayaan di sukan Olimpik Paris 2024, isu pakaian rasmi, hinggalah isu melibatkan keselamatan atlet sukan.
Mari kita imbas semula momen-momen yang menjadi topik hangat sepanjang tahun di #GempakWrapped2024!
1. Akhyar Rashid Diserang dan Disamun
Pada 2 Mei 2024, dunia bola sepak Malaysia digemparkan dengan insiden samun dan pukul yang menimpa pemain pasukan Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid.
Kejadian tersebut difahamkan berlaku di hadapan sebuah kondominium apabila Akhyar diserang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.
Suspek dikatakan memukul Akhyar dengan besi boleh laras sehingga menyebabkan kecederaan pada kepala, kaki kiri, dan lengan kiri.
Susulan kejadian tersebut, pemain berusia 25 tahun itu mengalami kerugian hampir RM5,000 dan terpaksa menerima enam jahitan akibat kecederaannya.
Setakat artikel ini ditulis, tiada lagi kes tangkapan dilakukan.
2. Faisal Halim Diserang Asid
Selepas kes Akhyar disamun, rakyat Malaysia dikejutkan pula dengan berita, pemain bola sepak Selangor, Faisal Halim cedera disimbah asid pada Ahad (5 Mei) ketika sedang keluar dari pusat beli-belah di Petaling Jaya bersama keluarganya.
Insiden tersebut berlaku selepas dua individu tidak dikenali sedang menunggang motosikal, menegur Faisal dengan ucapan "good luck" sebelum menyimbah asid ke wajahnya.
Serangan ini mengakibatkan Faisal mengalami melecur tahap empat dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan, termasuk dua pembedahan.
Insiden ini mendapat perhatian meluas daripada peminat dan komuniti sukan yang sehingga wujud solidariti ‘Stand With Faisal Halim. Stop The Violence’ bagi membanteras keganasan dalam bola sepak Malaysia.
Bagaimanapun, setakat artikel ini ditulis tiada juga kes tangkapan yang dilakukan.
3. Kereta Safiq Rahim Dipecahkan
Kemudian, pada 7 Mei 2024, Safiq Rahim, bekas ketua pasukan bola sepak kebangsaan pula menjadi mangsa apabila
cermin keretanya telah dipecahkan oleh dua individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta'zim.
Berita insiden itu dikongsikan oleh Safiq menerusi laman Instagramnya bersama salinan laporan polis yang dibuatnya selepas kejadian terbabit.
Kes serangan pemain bola sepak yang berlaku secara berturut-turut ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat teruatanya dalam isu keselamatan atlet di luar padang.
4. Baju Rasmi Sukan Olimpik Malaysia Dikecam, Rekaan Baharu Lebih Menyerlah
Beralih ke acara temasya sukan Olimpik paris 2024, isu pakaian rasmi kontinjen Malaysia turut mendapat perhatian ramai kerana rekaannya dianggap terlalu sederhana.
Rata-rata netizen di media sosial bukan sahaja menzahirkan rasa tidak puas hati, malah ada yang mengatakan ia kelihatan seperti ‘baju budak sekolah’.
Namun selepas menerima banyak kritikan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tampil memperkenalkan rekaan baharu yang menampilkan corak belang Harimau 'lebih garang’. Rekaan kali ini turut menonjolkan logo MOM dengan Jalur Gemilang dalam warna asli, berbanding logo MOM berwarna emas yang dipaparkan pada corak terdahulu.
5.Upacara Pembukaan Olimpik Paris 2024: Kontinjen Malaysia Segak Bergaya Sarung Busana Tradisional "The Malaya"
Pada upacara pembukaan Olimpik Paris 2024, kontinjen Malaysia telah memukau dunia dengan menggayakan busana “The Malaya", rekaan pereka fesyen terkenal tanah air, Rizman Ruzaini.
Bertemakan "Manis dan Sopan", rekaan ini mempamerkan keindahan tradisi Melayu dengan sentuhan moden. Atlet wanita menggayakan kerubung, simbol wanita Malaya, manakala atlet lelaki mengenakan baju Melayu Teluk Belanga sebagai penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang berasal dari Johor.
6. Lee Zii Jia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik Raih Gangsa di Sukan Olimpik 2024
Pada temasya berprestij itu, Lee Zii Jia, bintang badminton negara, berjaya meraih pingat gangsa selepas berjaya mengalahkan lawannya dari India, Lakshya Sendi.
Selain itu, pasangan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik turut mengharumkan nama negara dengan meraih gangsa dalam acara beregu lelaki.
Susulan meraih pencapaian membanggakan dalam temasya berprestij itu, mereka bertiga telah menerima ganjaran, sebuah kereta utiliti sukan (SUV) Chery Tiggo 7 Pro.
Malah, mereka turut menerima insentif selaku duta minuman isotonik, 100PLUS di mana Aaron-Wooi Yik berkongsi wang tunai RM150,000, manakala Zii Jia merupakan penerima terbesar dengan RM100,000.
7. Aksi Selamba Penembak Turkiye Raih Perhatian Dunia
Selain itu, penembak dari Turkiye, Yusuf Dikec turut menjadi tumpuan di Olimpik Paris 2024 kerana aksi selamba yang ditonjolkan sewaktu acara menembak untuk meraih pingat perak di Sukan Olimpik 2024.
Menerusi perkongsian yang tular, memaparkan Dikec yang ‘santai’ mengenakan baju-T sambil meletakkan satu tangan di dalam poket, memakai sepasang cermin mata biasa, dengan ekspresi wajah yang tenang ketika menembak.
Yusuf yang juga merupakan seorang bekas tentera itu berjaya mendapat pingat perak dalam acara menembak Pistol Udara 10 meter pada temasya tersebut.
8. Anthony Ammirati Gagal Mara Kerana ‘Adik’ Tersangkut Palang
Seterusnya, aksi atlet lompat galah dari Perancis, Anthony Ammirati di Olimpik Paris 2024 turut mendapat perhatian ramai selepas gagal melepasi palang disebabkan oleh alat sulitnya.
Pada awalnya, peserta Perancis berusia 21 tahun itu tidak mempunyai masalah untuk melepasi ketinggian 5.7 meter pada percubaan ketiga sehinggalah alat sensitif itu ‘tersangkut’ pada palang.
Insiden tersebut menyebabkan namanya hangat diperkatakan di media sosial.
9.Petinju Wanita Turkiye Jadi Tumpuan Kerana Penampilannya Seperti Lelaki
Di sebalik kejayaan meraih pingat emas bagi acara tinju welterweight 66 kilogram menewaskan petinju China, Yang Liu di pentas final, kemenangan Imane Khelif, petinju wanita Algeria diselubungi kontroversi selepas dia didakwa mempunyai biologis lelaki.
Susulan kejadian tersebut, Imane turut menerima kritikan daripada beberapa tokoh, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif X dan Tesla, Elon Musk serta pengarang Harry Potter, JK Rowling.
Bagaimanapun, Khelif menafikan dirinya transgender dan telah dilahirkan sebagai perempuan tetapi didakwa mempunyai kromosom XY lelaki selepas mengambil ujian.
Malah, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mempertahankan penyertaannya dalam acara sukan dunia itu.
10. Azizulhasni Awang Gagal di Olimpik Paris 2024
Harapan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk menyumbangkan pingat emas sulung gagal apabila tersingkir daripada saringan pertama acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024 selepas penyertaannya dibatalkan kerana didakwa memintas pacer terlalu awal.
Anak jati Dungun itu sempat memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menghampakan harapan mereka dan amat terkesan dengan insiden malang tersebut.
Walaupun gagal meraih kejayaan di Paris, Azizulhasni tetap mendapat pengiktirafan atas sumbangan luar biasa dan dedikasinya dalam memartabatkan sukan berbasikal negara.
ARTIKEL BERKAITAN: #GempakWrapped2024: Nasi Kandar Berpasir, Bodohkan Penjual Teh, Pengakuan Ranjang Jefri Nichol & Nikah Tak Sah Antara Kisah Panas Dari Indonesia
ARTIKEL BERKAITAN: #GempakWrapped2024: Han So Hee Didakwa Penyondol, Kematian Mengejut Song Jae Rim & Comeback G-Dragon Antara Terhangat Korea
ARTIKEL BERKAITAN: #GempakWrapped2024: Skandal Jenayah P.Diddy, Kemunculan Semula Celine Dion, Kematian Liam Payne Antara Kejutan Besar Dari Hollywood
Must-Watch Video