Hiburan
Gagal Tukar Jantina Di Kad Pengenalan... Wanita Ini Minta Nursajat Mohon Maaf Dalam Tempoh 48 Jam
Seorang Wanita bernama Yusmiliati Mohamed Yusof mendakwa telah dianiaya oleh usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad atau turut dikenali sebagai Nursajat.
Menurut Yusmiliati, pihak Sajjad telah melemparkan bermacam tuduhan palsu terhadap dirinya ekoran kegagalannya membantu usahawan itu menukar jantina “lelaki” kepada “perempuan” pada kad pengenalannya menerusi urusan bersama Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPNM).
“Oleh kerana kami telah berkenalan dan beliau (Sajjad) juga menyuarakan hasrat tersebut malah saya juga mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam menguruskan hal-hal permohonan dengan jabatan serta agensi kerajaan, saya menyatakan kepada beliau yang saya boleh membantu beliau untuk melakukan permohonan tersebut dengan bayaran yang dipersetujui sebagai bayaran kepada perkhidmatan saya.
“Beliau telah serahkan kepada saya dokumen-dokumen berkaitan untuk membuat permohonan tersebut. Saya telah hadir ke pejabat JPNM untuk menyerahkan borang permohonan bagi pertukaran jantina di kad pengenalan beliau,” jelas Yusmiliati.
“Pada 30 September dan 13 Oktober 2017, JPNM telah menghantar sesalinan surat kepada Sajjad dan pembantunya, Ashaari Maznan menyatakan permohonan tersebut telah ditolak atas alasan pemohon gagal melampirkan satu salinan surat daripada doktor yang mengesahkan beliau adalah seorang khunsa,” jelas Yusmiliati.
Sejurus itu, Yusmiliati mendakwa dia telah dihubungi pihak Sajjad mengatakan mereka tidak berpuas hati kerana gagal memenuhi permintaan mereka serta menegaskan dia telah dianiaya dan dituduh sebagai penipu.
“Saya menyatakan dengan tegas bahawa saya telah dianiayai dan dituduh sebagai penipu oleh beliau sedangkan saya telah laksanakan permohonan tersebut sepertimana diarahkan oleh beliau dan telah menurut prosedur permohonan di JPNM,” tambahnya.
Yusmiliati berkata demikian ketika sidang media berhubung isu terbabit di Pejabat Persatuan Pekerja Perfileman Malaysia (Profima) di Kuala Lumpur sebentar tadi.
Turut hadir peguam Yusmiliati, Ahmad Faiz Azizan dan Mohd Amirul Ramli.
Yusmiliati mengarahkan Sajjad tampil membuat permohonan maaf kepadanya dalam masa 48 jam dari tarikh hari ini dalam bentuk bertulis dan dialamatkan kepada peguamcara saya serta satu video permohonan maaf menerusi laman sosial yang boleh disaksikan orang awam.
Must-Watch Video