,
Laman Utama

#G The Untold Story: Setulus Hati Azwan Omar, Viva Pinjam & Enjin Bot Kawan: “Di Mana Ada Banjir, Di Situ Ada Saya”

Maliah Surip
28/12/2021
02:53 MYT
Sewaktu Azwan Omar atau diberi jolokan Abang Viva dalam kalangan masyarakat tiba di lokasi perjanjian kami, Warong Selai, Temerloh, Pahang, saya perlu menunggu beberapa waktu.
Hal itu kerana, sebaik kereta Viva hitam dengan di atasnya diikat sebuah bot juga dalam warna senada parkir di tepi jalan, banyak kenderaan ikut tertarik.
Ramai yang berpatah balik, berhenti mendadak, membunyikan hon dan memberi lampu tinggi berkedip kepada lelaki yang kini ‘paling dikehendaki’ di Malaysia tersebut.
Dengan senyum tak lekang di bibir, dalam suasana santai dan sederhana beliau dilihat melayan permintaan berfoto, selfie dan menerima banjir pujian sambil mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi tanpa henti.
“Terima kasih, Alhamdulillah, Insya Allah,” itu antara ayat yang diulang ulang oleh Azwan berulang kali, sehingga selesai dikerumuni.
Usai pertemuan seperti adun sedang melawat kawasan itu, beliau berjalan merapat ke arah saya; meminta maaf kerana membuat saya menunggu.
Saya sambut dengan rasa lebih bertuah kerana beliau sudi meluangkan masa ditemubual secara eksklusif untuk #G The Untold Story dalam edisi yang cukup istimewa sempena menutup tahun 2021 dan membuka 2022.
Kami mahu Azwan, si Unsung Heroes, juara nombor satu di hati rakyat saat negara ditimpa bencana, khususnya buat mangsa mangsa banjir di beberapa negeri memberi inspirasi kepada pembaca.
Bagaimana seorang operator mesin untuk bina jalan di sebuah syarikat ini mempunyai sekeping hati dan jiwa yang luar biasa besar dalam kehidupannya demi membantu manusia lainnya.
Beliau banyak tersenyum sepanjang temubual. Bicaranya sangat sopan, sesekali berfikir sejenak dan luahan yang keluar dari bibirnya cukup jujur. Sama jujur seperti beliau memberi nombor telefon kepada semua individu yang mendekatinya dan meminta nombor untuk dihubungi.
Saya tanya kepada jejaka berusia 29 tahun ini: “Kenapa awak beri nombor telefon kepada semua orang dengan mudah?”
Jawab jejaka dengan ketinggian sederhana ini sambil tersenyum: “Saya tak kisah. Mudah untuk orang nak beri maklumat pada saya jika ada yang memerlukan bantuan.”
Dan dengan hanya meminta secawan teh o ais yang sesekali dijamah, ledakan ketawa dan mutiara kata, Azwan atau Abang Viva berkongsi kisah diri serta tempias populariti kerana ketulusan dan kemuliaan hatinya tak lelah menghulurkan bantuan buat semua.
Malah banyak kali beliau nyatakan ada lebih ramai sukarelawan yang bergerak secara solo serta lebih kental daripadanya dalam menghulur bantuan yang lebih layak diberi perhatian selain berterima kasih kepoda mereka yang tak lokek berkongsi informasi kepadanya.
GEMPAK: Assalamualaikum Azwan, terima kasih kerana sudi luangkan masa untuk kami di sebalik kesibukan anda membantu mangsa bencana banjir. Jadi selepas membantu di Selangor, kenapa kali ini ke Pahang? AZWAN OMAR: Waalaikumusalam, tak apa. Terima kasih sudi menemubual saya. Saya ke Pahang terutama di Temerloh dan sekitarnya selepas mendapat maklumat daripada orang ramai bahawa kawasan di sini juga terjejas teruk kerana banjir. Terdapat banyak kawasan yang masih ditenggelami air walaupun banjir sudah mulai surut. Misi kali ini juga selain menyelamat, saya nak bantu seramai mungkin mangsa yang memerlukan bantuan untuk membersihkan kediaman pasca banjir.
GEMPAK: Seorang diri? Kenapa bergerak solo? AZWAN OMAR: Ya hanya seorang sama seperti saya membantu mangsa di Selangor. Saya selesa sendiri, senang dan mudah untuk ke mana mana atau membuat keputusan. Bukan tak ada kawan, ada. Tapi saya senang sendiri.
GEMPAK: Kenapa anda ambil keputusan bertolak dari Melaka secara solo ke ibu kota? Ada sesiapa seperti kenalan yang ingin anda bantu sebenarnya? AZWAN OMAR: Tak ada. Saya tak kenal pun mangsa mangsa banjir ini. Tapi saya ambil keputusan pergi tolong lepas membaca mengenai bencana ini. Saya mesti tolong, hati saya tergerak. Bagi saya ini ujian untuk kita walaupun musibah itu kena atas orang lain. Jadi saya ambil apa yang patut (kereta dan bot) dan bergerak. Sebenarnya untuk misi dengan bot, ini adalah yang pertama kali. Sebelum ini ada juga membantu tapi tak perlulah saya kongsi.
Lokasi pertama yang saya pergi adalah Puchong sebelum ke Sri Muda, Shah Alam. Saya pergi berdasarkan informasi yang dikongsikan orang ramai atau sukarelawan lain. Saya pergi ke sesebuah lokasi yang belum banyak bantuan tiba dan cuba membantu seberapa banyak mangsa untuk keluar dari kawasan banjir. Selepas membantu di Selangor, saya pulang ke Melaka, minta izin orang tua untuk misi di Pahang pula. Saya akan berada di sini selagi ada banjir atau diperlukan.
GEMPAK: Okay, disebabkan tindakan anda bergerak solo dengan Viva dan bot selamba redah dari Melaka bantu orang, anda menjadi viral. Semua orang gelar awak Abang Viva sekarang ni. AZWAN OMAR: Itulah tu, saya pun tak sangka. Saya pun hanya sedar jadi viral sekitar tengahari selepas kawan kawan maklumkan. Saya cuma nak cakap satu, kalau boleh balikkan masa, saya tak nak pun jadi terkenal, jadi viral macam ini sebab penat dengan amanah orang dan jaga nama sendiri.
Amanah orang besar sangat untuk saya. Saya memang tak mahu popular. Saya tak pernah terasa, tak pernah nak benda (viral) terjadi. Bila saya cakap macam ini, bukan lah saya menyesal, tapi kalau boleh undur masa, saya memang tak nak (viral). Kalau saya tahu ada orang ambil gambar curi saya sewaktu beri bantuan tempoh hari, saya akan menyorok. Saya biarkan sebab saya tak sangka akan jadi viral.
GEMPAK: Boleh kongsi kisah Viva dan RM50 anda? AZWAN OMAR: Sebenarnya Viva ini bukan milik saya. Ia asalnya kakak saya punya, kemudian dia beri ayah saya pakai. Saya cuma ada motor sahaja. Cuma sewaktu nak datang tolong mangsa banjir, saya cakap pada ayah nak pinjam kereta untuk misi ini. Viva ini kiranya kereta keluarga dan saya memang pakai selalu.
Untuk bot angin ini pun saya beli baru dua bulan. Saya sebelum ini pakai bot fiber, 10 kaki. Saya jual sebab ia agak besar dan berat. Saya kemudian beli bot angin ini dengan harga RM2,000.
Untuk pengetahuan, enjin bot pun bukan saya punya. Saya tanya kawan kawan siapa ada enjin untuk dipinjam. Ini enjin kawan saya, seorang hamba Allah ini bagi pinjam enjin dia sampai sekarang.
Tentang RM50 tu pula sebenarnya bukan duit last yang saya ada. Saya ada duit emergency lain. Cuma masa nak pergi saya tunggu gaji yang jatuh pada 27 haribulan. Jadi dengan RM50 saya tawakal redah sementara tunggu dapat gaji.
GEMPAK: Waktu sekolah anda pengangkap? Saja tanya sebab anda lasak dan redah semua. AZWAN OMAR: Bukan. Saya masuk KRS. Waktu sekolah, saya sertai KRS dan dilatih oleh seorang askar. Jadi caranya memang agak keras.
GEMPAK: Kenapa tak masuk askar, bomba atau polis? AZWAN OMAR: Saya minat dan pernah minta semuanya, askar, polis dan bomba. Tapi semua tak lepas sebab berat badan tak cukup. Berat badan saya hanya sekitar 43 dan 44 kilogram sedangkan berat layak untuk memohon menjadi askar, bomba atau polis jika tak silap saya 46 kilogram dan ke atas.
GEMPAK: Sekarang ini orang anggap anda hero. Ada yang sarankan anda dapat gelaran Datuk, terima anugerah sehingga nama disebut dalam khutbah Jumaat dan diaminkan oleh muslimin muslimat yang menunaikan solat Jumaat. AZWAN OMAR: Saya tak minat untuk orang kenal. Saya lebih suka bergerak secara solo, biar orang tak tahu. Saya memang jadi viral ini saya tak tahu nak cakap. Tapi ini satu kelebihan untuk dapatkan maklumat orang yang susah. Itu mungkin apa yang Allah nak beri kepada saya.
GEMPAK: Jadi bagaimana anda beradaptasi dengan situasi baharu ini? AZWAN OMAR: Terus terang saya cakap, sehari dua ini memang belum dapat sesuaikan diri dikejar orang, jadi saya tidak dapat nak komen banyak. Tak sampai satu hari, satu Malaysia cari maklumat tentang saya, foto keluarga semua tersebar. Facobook dan WhatsApp saya sesak. Netizen kita memang laju buat kerja (ketawa).
GEMPAK: Harapan orang besar pada anda. Bagaimana perasaannya sekarang? AZWAN OMAR: Jujurnya bila lepas viral, saya rasa takut lebih sebab sebelum ini, saya tolong dengan ikhlas. Tapi lepas viral orang banyak puji, orang banyak kenal. Saya takut daripada ikhlas menjadi sekadar mengambil nama, tunjuk muka di satu satu tempat hanya untuk ambil nama. Pujian orang. Saya takut.
Sebab itu saya cakap saya suka orang tak kenal. Tenang buat kerja. Harapan orang nak saya dapat gelaran Datuk, saya jadi tokoh, saya rasa kemungkinan akan tolak. Bagi saya amanah itu terlalu tinggi. Amanah yang ada sekarang pun dah tinggi, takut lagi tinggi lagi tak terbawa. Banyak buruk kepada diri sendiri, saya takut.
GEMPAK: Bagaimana dengan sumbangan orang ramai kepada anda? Sebab kita tahu anda menolak sumbangan yang diberikan buat anda. AZWAN OMAR: Jika sumbangan yang diberikan untuk diri saya, memang saya tolak. Saya tak perlukannya, saya bekerja dan ada duit. Tapi memang ramai yang bagi sumbangan, dalam bentuk cash atau bank in. Jadi apa yang saya buat dengan duit sumbangan itu?
Mana komuniti yang ramai yang tak nak pindah sebab banjir, saya tanya apa yang mereka perlu, saya keluar pergi beli apa yang mereka nak dan saya hantar. Itulah semua duit yang orang sumbang. Contohnya saya beri cash dari rumah ke rumah di satu kawasan terjejas teruk di Jelebu selepas melihat rumah mereka. Duit sumbangan saya akan dahulukan kepada tempat yang mengalami bencana paling teruk.
MASIH TIDUR DALAM KERETA
GEMPAK: Bila sudah viral, tentu anda menerima layanan yang baik juga, misalnya orang ajak bermalam di rumah atau mahu sponsor hotel bila sedar anda ada di satu lokasi banjir? AZWAN OMAR: Ada ramai yang ajak tidur dengan mereka baik di rumah atau mahu sponsor hotel. Saya lebih suka tidur dalam kereta. Saya ambil juga hidup solo. Bila orang tak kenal saya tidur dalam kereta, bila dah terkenal buat apa saya nak pergi ke tempat lain yang lebih selesa?
GEMPAK: Tak terfikir untuk beli bot baharu? AZWAN OMAR: ada terfikir nak tambah bot, tapi duit yang ada ini amanah orang saya tak boleh guna untuk diri sendiri. Bila saya tambah bot, banjir bukan selamanya, jadi kalau tambah macam untuk kepentingan diri. Betul, ada bot besar memang boleh selamatkan lebih banyak orang. Kalau saya nak, saya akan kumpul duit sendiri.
GEMPAK: Ini soalan peribadi sedikit, anda masih solo atau sudah berpunya? AZWAN OMAR: Saya masih solo dan single.
GEMPAK: Maksudnya lepas ni kalau ada yang hantar diri jadi jodoh anda boleh? AZWAN OMAR: Tanggungan saya banyak, komitmen saya tinggi. Dalam keluarga saya seorang lelaki, bongsu. Saya juga jaga dua anak buah saya, kakak sulung saya sudah meninggal dunia. Sudah nak masuk 3 series ini, bukan tak fikir langsung, tapi belum (kahwin). Kalau ada jodoh, saya tak tetapkan status apa, janji jangan bini orang (ketawa).
GEMPAK: Tahun 2020 mungkin boleh kita kata tahun yang kurang baik untuk semua orang di seluruh dunia. Untuk Azwan macam mana? AZWAN OMAR: Secara peribadi, saya melihat tahun 2021 tahun ujian untuk kita. Kita tengah berperang dengan COVID-19, kemudian kena bencana alam. Memang Allah tengah uji iman kita. Berapa banyak iman kita pada dia. Kita kena minta tolong pada Dia sebab ini semua dari Dia juga.
GEMPAK: Azam Azwan tahun 2022? AZWAN OMAR: Saya pernah ada azam tapi tak pernah tercapai. macam saya perokok, azam tahun ni nak berhenti rokok tapi sudah nak habis tahun, masih gagal. Untuk tahun hadapan saya nak buat yang terbaik.
GEMPAK: Mungkin ada mutiara kata dari Azwan buat seluruh rakyat dan pembaca Gempak? AZWAN OMAR: Untuk punya perasaan prihatin atau ada empati, wajib ada dalam diri semua orang. Tak kira bangsa Cina ke India sebab kita semua tetap manusia. Dan susah untuk saya gambarkan kepuasan yang saya dapat apabila membantu orang. Hanya yang selamatkan orang sahaja dapat rasakan atau ada sifat prihatin, Jika hilang sifat kemanusian, sampai bila bila pun tak akan dapat rasa perasaan prihatin. Dan saya nak cakap di mana ada banjir, di situ ada saya.
Jurufoto: Abdul Razak Latif Lokasi temubual: @warongselai
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Viral

Kes Lelaki Ikat Leher Kucing, Heret Paksa Dirujuk Jabatan Veterinar - Polis

gempak
23/11/2024
16:02 MYT
Polis menyerahkan kepada Jabatan Veterinar membuat siasatan kes penganiayaan seekor kucing yang dipercayai berlaku di sebuah apartmen servis di ibu kota seperti dalam satu rakaman video yang tular, hari ini.
Viral

#Travelmana: Didakwa Penuh Sampah, Bali Jadi Destinasi Tidak Wajib Dilawati 2025

gempak
23/11/2024
12:00 MYT
Agensi panduan pelancongan terkenal, Fodor mengeluarkan daftar destinasi di dunia yang perlu dielakkan untuk dilawati pada tahun 2025.
Sukan

Petinju Conor McGregor Bersalah R*gol Wanita, Diarah Bayar RM960,000

gempak
23/11/2024
09:30 MYT
Petinju kontroversi, Conor McGregor didapati bersalah atas dakwaan merogol seorang wanita dalam kes sivil yang difailkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Dublin, Ireland.
Hiburan

Pelakon Lelaki Mengaku ‘Tahi Judi’, Pernah Kalah RM8 Juta

gempak
23/11/2024
08:25 MYT
Bekas pemain bola keranjang yang bertukar karier menjadi selebriti, Denny Sumargo mendedahkan pernah menjadi ‘tahi judi’.
Hiburan

Aina Abdul Janji Semua Boleh Duduk - "Saya Mahu Peminat Benar-Benar..."

gempak
22/11/2024
21:02 MYT
Penyanyi dan komposer berbakat besar, Aina Abdul yang bakal mengadakan konsert Aina Abdul Imaji Tour di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Disember ini akan dinaik taraf menjadi acara tempat duduk sepenuhnya.
Unitar