GAYA HIDUP
#FinancialFaiz: Hati-Hati dengan EPP! Ini Cara Elak Skor Kredit Terjejas Bila Nak Beli Rumah
Pendidik Kewangan, Faiz Azmi berkongsi pengalamannya mengenai bagaimana penggunaan kaedah bayaran ansuran mudah atau Easy Payment Plan (EPP) memberi kesan kepada pengiraan komitmen kewangannya ketika ingin membeli rumah.
Menurut Faiz, jumlah penggunaan kredit kad yang tinggi boleh menjejaskan skor kredit dan menyebabkan permohonan pinjaman perumahan sukar diluluskan oleh pihak bank.
“Anda bayangkanlah anda nak beli big ticket item, kemudian anda menggunakan kaedah pembayaran EPP supaya senang anda punya cash flow.
“Tapi bila anda mahu beli rumah, tiba-tiba tak boleh sebab kredit kad punya utilization anda sudah tinggi. Jadi, ia akan kacau pengiraan komitmen anda,” jelasnya.
Pada masa sama, Faiz atau lebih dikenali sebagai Financial Faiz berkata walaupun pembayaran kad kredit secara berkala boleh mengurangkan kadar penggunaan kredit namun baki terkumpul masih boleh memberi kesan kepada skor kredit.
Oleh itu, Faiz menyarankan kepada pengguna untuk menyelesaikan bayaran EPP lebih awal secara lump sum bagi mengurangkan kadar penggunaan kredit kad dan dalam masa sama dapat meningkatkan kelayakan kredit anda.
“Itu apa yang saya sendiri lakukan sewaktu mahu membeli rumah. Saya ada kad kredit dengan limit sebanyak RM50,000 dan saya telah menggunakannya sepenuhnya.
“Seronok ke EPP ni? Kalau RM50,000 bahagi 12 pun baru lebih kurang RM4,000 sebulan. Jadi, bila saya gunakan kad kredit personal untuk beli barang-barang keperluan syarikat yang akan reimburse saya, saya tak bayarlah kredit kad itu dan saya laburkan dalam ASB.
“Tapi ada satu waktu saya nak beli rumah dan hutang RM50,000 dengan bank ini mengganggu. Walaupun anda bayar penggunaan kredit kad itu, ia tetap akan mengganggu skor kredit selagi ada baki terkumpul.
“Untuk buat pembayaran lump sum bagi EPP, anda tidak akan dikenakan sebarang caj kerana bank lebih suka sekiranya anda menyelesaikan hutang lebih awal. Selain itu, ini juga membantu anda mendapatkan kembali skor kredit yang baik di kaca mata bank,” katanya.
Penggunaan EPP boleh menjadi alat yang berguna dalam pengurusan aliran tunai, tetapi ia perlu digunakan dengan bijak untuk mengelakkan masalah kewangan di masa hadapan.
Jika anda bercadang untuk membuat pembelian besar seperti rumah, pastikan komitmen kewangan anda tidak terjejas akibat penggunaan kredit kad yang berlebihan.
Menyelesaikan hutang secara lump sum adalah antara cara terbaik untuk memastikan kelayakan pinjaman perumahan anda tidak terganggu.
Must-Watch Video