Pendidik kewangan, Faiz Azmi menekankan bahawa pelajar seharusnya menggunakan wang yang dimiliki ketika zaman pengajian untuk keperluan semasa dan bukannya memikirkan tentang simpanan untuk hari tua.
Jelas Faiz, pelajar seharusnya menikmati kehidupan sebagai pelajar tanpa terbeban dengan tekanan kewangan yang keterlaluan.
Namun, pelajar harus tahu bagaimana untuk mengimbangi agar tidak terlalu boros dalam berbelanja.
“Yang pertama, semua duit yang anda ada sekarang memang untuk anda pakai semasa belajar. Jangan fikir sangat nak simpan untuk hari tua. Itu bukan kepentingan anda sekarang
“Gunakan untuk hidup sebagai pelajar. Nikmati untuk anda keluar bersama dengan rakan-rakan atau membeli kepentingan pembelajaran. Jangan kedekut sangat waktu belajar sehingga anda tak boleh nak enjoy kehidupan sebagai pelajar. Tapi jangan pula anda boros berbelanja, benda ini kena seimbang,” katanya.
Dalam pada itu, Faiz turut memberi amaran kepada pelajar agar tidak terjebak dengan pelaburan berisiko tinggi seperti skim cepat kaya, pelaburan palsu (scam) dan mata wang kripto (crypto) terutamanya apabila tiada keperluan atau ilmu yang mencukupi.
“Kalau anda ada duit lebih dan nak simpan, jangan letak dekat tempat yang berisiko tinggi. Elak pelaburan scam, crypto. Kalau anda laburkan duit anda ke tempat-tempat yang volatile, sekali nak pakai duit tak boleh sebab harga tengah jatuh,” jelasnya.
Faiz mencadangkan agar pelajar yang ingin menyimpan wang agar menyalurkan simpanan mereka ke dalam instrumen yang lebih selamat dan mudah diakses seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji, atau SSPN yang menawarkan pulangan sehingga 6% setahun serta membenarkan pengeluaran wang bila diperlukan.