Hiburan

Filem Khong Khaek Sukses, Naskhah Seram Bisikan Dosa Pula Buka Tirai 2025 - "Amalan Syirik Mandi Bunga Masih ..."

gempak
Amri Hassan
14/12/2024
12:49 MYT
Sponsor Banner
Filem Khong Khaek Sukses, Naskhah Seram Bisikan Dosa Pula Buka Tirai 2025 - "Amalan Syirik Mandi Bunga Masih ..."
Susulan kejayaan besar kutipan filem seram pertama Islamik dari Thailand berjudul Khong Khaek, syarikat Yusrych Global Sdn Bhd tampil mempertaruhkan satu lagi karya seram berjudul Bisikan Dosa.

BERITA TRENDING: Khong-Khaek, Filem Seram Islamik Pertama Thailand Masuk Pawagam Malaysia! - "Ada Pelakon Nampak Kelibat ..."

Penerbit dan Pengasas Yusrych Global Sdn Bhd, Yusry Makmor menaruh keyakinan potensi filem seram yang menampilkan jalan cerita menarik dan gandingan pelakon hebat tanah air itu.
Menurutnya, filem arahan Faizul A Rashid ini dijangka melakar sejarah sebagai filem seram Box Office yang membuka tirai 2025.
"Insya-Allah dengan sokong daripada pasukan produksi yang baik selain Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan rakan strategik pemasaran Primeworks Studios, Media Prima Bhd serta beberapa agensi yang terbabit filem ini boleh mencetus fenomena tersendiri," katanya.
Mengenai idea menghasilkan filem itu pula Yusry berkata, ia tercetus apabila dia bersama pengarah kreatif merangkap idea asal naskhah itu bersamanya iaitu Zafran Aziz melakukan 'brainstorm' serta membuat kajian mengenai filem seram yang menjadi tarikan pada penonton ketika ini.
"Tidak dinafikan filem seram adalah salah satu genre yang cukup dinantikan penonton.
"Penceritaan filem ini pula bersifat realistik, misalnya amalan syirik seperti mandi bunga masih diamalkan sebilangan manusia tanpa mengira darjat dan keturunan walau dalam zaman serba moden kini," kata Yusry.
Tambahnya, antara tarikan tersendiri adalah ada beberapa 'plot twist' yang tidak disangka penonton.
"Selain itu, kesan solekan unik, dengan interprestasi tersendiri dan lakonan mantap oleh setiap pelakon dalam filem ini turut saling mendukung watak satu sama lain menghasilkan satu persembahan menarik dan gandingan sangat serasi," katanya.

Jumpscare

Faizul A Rashid selaku pengarah pula memberitahu filem Bisikan Dosa ini mempunyai keunikan tersendiri buat penggemar filem hantu atau seram.
"Bagi babak seram dan 'jumpscare', saya akan pastikan ia adalah yang terbaik dan baru dimasukkan dalam filem ini supaya memberi kepuasan kepada penonton," katanya yang turut berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan barisan pelakon.
Tambah Faizul, pelakon diberikan skrip beberapa bulan lebih awal sebelum penggambaran dilakukan serta mereka turut menyertai kelas lakonan.
"Jadi, persiapan untuk memulakan penggambaran itu semuanya sudah lengkap.
"Setiap pelakon pun dah tahu karakter mereka dan apa yang perlu dibuat," katanya.
Filem yang menampilkan pelakon hebat tanah air antaranya Uqasha Senrose, Sara Ali, Farid Kamil, Che Puan Juliana Evans, Sherry Merlis, Syazuwan Hassan dan ramai lagi ini mengisahkan Sarimah yang berpindah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baharu.
Sarimah berdepan pelbagai ujian berikutan kematian tragis anak kecilnya manakala bekas suaminya pula curang dan berkahwin dengan wanita lain.
Dia menjadi pembantu rumah kepada keluarga Ayden, tetapi tidak lama kemudian, dia dihantui oleh satu roh tidak tenang yang dia kenali dari potret keluarga itu sebagai Zara, arwah isteri Ayden.
Filem ini menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei pada 9 Januari tahun depan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024