BERITA
ERA Lancar Kelas Perpaduan Untuk Rakyat Malaysia
Stesen radio popular, ERA mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh keharmonian rakyat Malaysia apabila melancarkan kempen Kelas Perpaduan ERA dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara bermula 14 Julai ini.
Bertemakan slogan ERA Kini ERAT, inisiatif tersebut membawa mesej memupuk perpaduan, hormat-menghormati dan toleransi antara kaum menerusi pelbagai program interaktif yang menyasarkan seluruh lapisan masyarakat.
Antara pengisian utama kempen termasuklah segmen khas Kelas Perpaduan ERA yang bakal bersiaran setiap Rabu jam 9 pagi, memperkenalkan keunikan budaya pelbagai kaum di Malaysia secara santai dan mendidik.
Menurut Ketua Pengarah Astro Audio, Puan Priya Dharshini Prabakaran, ERA komited untuk bukan sahaja menjadi platform hiburan, malah berperanan sebagai jambatan penyatuan rakyat Malaysia.
“Kelas Perpaduan ERA merupakan salah satu usaha kami untuk memperingati semua bahawa perpaduan adalah satu rahmat yang perlu dihargai. Kami berharap program ini memberi inspirasi kepada generasi muda agar terus menyemai nilai kebersamaan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Kempen ini turut menampilkan iklan paparan digital berskala besar di lokasi strategik serta video kempen yang dibintangi penyampai ERA antaranya Nabil Ahmad, Radin Affendy, Syasya Nadira dan Azad Jasmin yang bakal disiarkan menerusi saluran YouTube ERA.
Dalam masa sama, Jelajah Kelas Perpaduan ERA akan diadakan di sekolah-sekolah terpilih seluruh negara, di mana para penyampai akan turun padang berkongsi ilmu dan aktiviti berkaitan nilai keharmonian bersama para pelajar.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang turut menyambut baik inisiatif ini yang disifatkan selaras dengan usaha kementerian untuk mendekati rakyat menerusi pendekatan yang segar, santai dan relevan.
“Usaha ERA membuktikan bahawa hiburan juga mampu memainkan peranan besar dalam menyemai nilai-nilai perpaduan dan mendidik masyarakat,” katanya.
Untuk maklumat lanjut serta perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti laman sosial rasmi ERA.
Must-Watch Video