HIBURAN
"Eda Ezrin Sedang Merintih, Kurus Di Dalam Penjara" - Bapa Sedih, Tahanan Dilanjutkan
"Eda Ezrin sering merintih dan bertanyakan kepada kami bila dia akan dibebaskan, badannya juga kini semakin kurus selepas lebih tujuh bulan berada di Penjara Wilayah Narathiwat." kata Wan Ismail Wan Yusuf, 52.
Bapa kepada kepada penyanyi dikir barat yang popular dengan lagu Bea Soba Bea, Eda Ezrin itu mengulas mengenai lanjutan penahanan anaknya serta menantu dan rakan mereka.
Wan Ismail berkata, dia sudah menjangka penahanan anak sulungnya itu akan dilanjutkan sehingga bulan depan walaupun besar harapan mereka sekeluarga mahu menyambut Aidiladha bersama-sama.
"Sedih, terkilan, reda… Macam-macam dalam fikiran saya bila mengetahui penahanan Eda Ezrin sekali lagi dilanjutkan sehingga bulan depan.
"Selepas bulan depan, kami juga tidak tahu apa nasib Eda Ezrin kerana dimaklumkan kes itu boleh dirujuk ke Mahkamah Agung pula.
"Saya sendiri keliru sedangkan keputusan Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 6 Mac lalu mendapati anak saya serta yang lain tidak bersalah.
"Walaupun sedih, saya terpaksa reda dan akur dengan segala keputusan memandangkan undang-undang di negara sana (Thailand), tidak sama dengan negara kita," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, menerusi pertemuan bekas isterinya dengan Eda Ezrin pada Khamis lalu, Eda Ezrin sendiri merintih dan tertanya-tanya akan nasibnya bila dia akan dibebaskan.
"Sedih apabila mendengar cerita daripada ibu Eda Ezrin. Bekas isteri juga memaklumkan badan Eda semakin susut, mungkin kerana sudah lebih tujuh bulan di penjara dan sering memikirkan nasib yang menimpa dirinya selain merindukan keluarga.
"Saya sendiri tidak sanggup untuk bertemu anak saya di penjara kerana terlalu sedih memikirkan apa yang berlaku.
"Disebabkan itu hanya bekas isteri yang berjumpa setiap minggu dan akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada saya," katanya.
Katanya yang yakin sehingga kini Eda Ezrin belum dimaklumkan bahawa penahanannya itu sekali lagi dilanjutkan, namun berharap anak kesayangannya itu terus kuat.
Semalam, media melaporkan penahanan Eda Ezrin, suami dan empat rakan dilanjut sehingga 6 Julai depan.
Menurut sebuah portal, Mahkamah Wilayah Narathiwat sekali lagi meluluskan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap keputusan pembebasan Eda Ezrin, suami dan empat rakan mereka atas tuduhan bersama memiliki 6,059 biji pil methamphetamine.
Susulan itu, Eda Ezrin atau nama penuhnya, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30; suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, akan terus ditahan di Penjara Pusat Narathiwat.
Pada 6 Mac lalu, mahkamah yang bersidang selama tiga hari iaitu 11, 13 dan 14 Februari membebaskan Eda Ezrin, suaminya dan empat rakan daripada tuduhan secara bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.
Bagaimanapun, mereka kekal di penjara kerana mahkamah membenarkan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap Eda, suami dan empat rakannya itu.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video