Eda Ezrin, Rakan-Rakan Dijangka Dibebaskan 7 Mei Ini
Penyanyi sohor Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suami, serta empat rakannya dijangka dibebaskan pada 7 Mei ini jika sehingga waktu pejabat Mahkamah Wilayah Narathiwat ditutup pada tarikh tersebut tiada permohonan rayuan dibuat oleh Pendakwa Raya Wilayah.
Memetik laporan berita apakhabartv.com, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, setakat hari ini (Jumaat) pihak Eda Ezrin, suami serta rakan-rakan tidak menerima apa-apa permohonan lagi.
"Pendakwa Raya Wilayah belum memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah.
"Pihaknya belum menerima daripada pihak pendakwa raya terhadap keputusan membebaskan semua tertuduh, atau permohonan bagi melanjutkan lagi tempoh mengemukakan rayuan.
"Pendakwa raya diberi tiga peluang untuk memohon melanjutkan tempoh memfailkan rayuan... sama seperti kes-kes dadah dan kes berkaitan keselamatan yang lain," katanya.
Menurut jurucakap itu, dalam kes melibatkan Eda Ezrin, suami dan empat lagi rakannya pendakwa raya telah menggunakan satu peluang yang diberikan yang akan berakhir 6 Mei depan.
“Biasanya dua tiga hari sebelum tempoh itu tamat, pejabat pendakwa raya akan mengemukakan permohonan kedua untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan... yang akan berakhir pada 6 Jun.
“Demikian juga untuk permohonan ketiga yang sekiranya berlaku, maka tempohnya akan berakhir pada 6 Julai,” katanya.
Jurucakap itu berkata, mahkamah diberitahu bahawa pendakwa raya masih mengumpul bukti dan saksi baharu untuk proses rayuan.
Katanya, jika pihak pendakwa raya telah mempunyai bukti dan saksi baharu yang mencukupi, mereka akan memfailkan rayuan secara rasmi tanpa perlu menggunakan peluang kedua atau ketiga.
“Setakat hari ini tidak ada... kami tidak terima apa-apa permohonnan (dari pendakwa raya)... tunggu 1, 2 atau 5 Mei ini.
“Jika sehingga waktu pejabat mahkamah ditutup pada 6 Mei tiada apa-apa permohonan, semua tertuduh akan dibebaskan,” katanya.
Jurucakap itu berkata, pihak berkuasa Thailand juga tidak mahu mengurung semua tertuduh terlalu lama tanpa perbicaraan yang adil.
Sumber: Sinar Harian