Doktor Pelatih Rogol Waris Pesakit Selepas Beri Ubat Pelali
Seorang doktor pelatih daripada Program Pendidikan Doktor Pakar (PPDP) Anestesiologi, Universiti Padjadjaran (Unpad), ditahan selepas dipercayai merogol seorang wanita yang merupakan waris pesakit di Hospital Hasan Sadikin (RSHS), Bandung, Jawa Barat, Indonesia.
Suspek berusia 31 tahun dan dikenali sebagai PAP, difahamkan sedang mengikuti pengajian tahun kedua dalam program kepakaran tersebut.
Kejadian dipercayai berlaku pada pertengahan bulan lalu di salah sebuah bilik rawatan di tingkat tujuh hospital berkenaan.
Menurut laporan, mangsa ketika itu sedang menjaga bapanya yang dimasukkan ke hospital dan memerlukan pemindahan darah.
Suspek dikatakan mendekati mangsa atas alasan ingin menjalankan pemeriksaan padanan silang darah, prosedur untuk memastikan keserasian kumpulan darah bagi tujuan pemindahan.
Namun, dalam proses itu, suspek dipercayai telah menyuntik cecair yang mengandungi ubat pelali jenis Midazolam, menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.
Selepas beberapa jam, mangsa tersedar dan mengalami kesakitan bukan sahaja pada bahagian tangan yang disuntik, malah turut berasa sakit pada bahagian kemaluan.
Pemeriksaan forensik yang dijalankan kemudian mengesahkan terdapat kesan cecair mani pada kemaluannya.
Kes itu menjadi tumpuan warganet selepas dimuat naik oleh akaun Instagram @ppdsgram pada 8 April lalu, yang menerima lebih 4,000 tanda suka dan ratusan komen kecaman daripada orang ramai.
Susulan itu, keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jawa Barat.
Pengarah Urusan RSHS, Dr Rachim Dinata Marsidi, turut mengesahkan kejadian tersebut dan menyatakan kekecewaan pihak hospital terhadap tindakan pelaku.
Beliau memaklumkan bahawa suspek telah dipulangkan kepada pihak universiti dan diberhentikan daripada program kepakaran di hospital berkenaan.
“Tindakan pelaku merupakan satu pelanggaran berat dari aspek undang-undang dan etika. Justeru, pihak kami telah menghentikan penglibatan beliau dalam program pendidikan doktor pakar di RSHS,” katanya.
Pihak Universiti Padjadjaran juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa suspek diberhentikan serta-merta daripada program PPDP atas pelanggaran etika dan undang-undang yang mencemarkan imej institusi serta profesion perubatan.
Sumber: Sinar Harian