HIBURAN
"Doa Orang Ramai Mengiringimu, Syed Saddiq" - Bella Astillah
Pelakon dan penyanyi Bella Astillah menitipkan kata-kata semangat buat Syed Saddiq menjelang rayuan kesnya di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini. Menerusi satu hantaran di Instagram malam tadi.
“Doa orang ramai mengiringimu, Syed Saddiq," tulis Bella ringkas.
Dalam perkongsian sama, Bella turut memuat naik foto mereka bersama ketika menyusun barangan bantuan yang pernah diagihkan kepada golongan memerlukan sebelum ini.
Sementara itu, Syed Saddiq menegaskan bahawa beliau akan terus mempertahankan integritinya di mahkamah dan berharap doa orang ramai dapat menjadi kekuatan buatnya.
“Saya akan terus mempertahankan integriti saya di mahkamah. Tiada senjata lebih kuat daripada doa kepada Allah SWT, khususnya pada hari yang istimewa ini,” tulisnya.
Perkongsian ini mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang turut menitipkan doa dan sokongan buatnya.
“Semoga segala urusan dipermudahkan. Kami akan terus mendoakan yang terbaik buat Syed Saddiq.”
“Bella Astillah solat hajat malam ini untuk Syed Saddiq, semoga doa kami dimakbulkan.”
Bella dan Syed Saddiq sebelum ini menarik perhatian ramai selepas mereka tampil sebagai wajah kempen raya bagi sebuah jenama pakaian terkenal.
Gandingan mereka yang digelar “BASS” (Bella Astillah & Syed Saddiq) turut aktif mengagihkan bantuan di beberapa kawasan termasuk Muar dan Semporna, Sabah.
Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq, 32, sebelum ini telah memaklumkan bahawa proses rayuan kesnya sedang berjalan selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau juga telah mengarahkan pasukan peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, untuk segera melengkapkan rayuan tersebut.
Terdahulu, pada 28 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi mendapati Syed Saddiq bersalah atas pertuduhan pecah amanah kerana mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Selain itu, mahkamah turut berpendapat bahawa tindakannya menyimpan dan membahagikan wang tunai tanpa menyimpannya di tempat selamat di pejabat Armada menimbulkan inferens niat jahat (bad faith).
Must-Watch Video