Hiburan
Dina Nadzir Terkenang Memori Raya Terakhir Bersama Arwah Bapa - “Masa Tu Lama Betul Abah Peluk Saya…”
Penyanyi dan penyampai radio SINAR, Dina Nadzir mengimbas kembali kenangan beraya bersama arwah bapa kesayangannya, Mohd Nadzir Gulam Kadir.
Menurut Dina, kenangan terakhir itu menjadi momen indah yang tidak akan dilupakan olehnya.
“Tahun ini saya dapat cuti dan pulang beraya di kampung iaitu Johor Bahru.
“Antara kenangan yang saya ingat ialah masa raya terakhir dengan arwah abah. Kami sempat lagi bermaafan dengan abah.
“Masa itu lama betul Abah peluk saya. Lain dari tahun-tahun sebelumnya. Beberapa kali saya cuba lepas, tapi Abah tak mahu.
“Walaupun dia tak sihat, abah masih lagi mahu memberikan duit kepada saya dan adik-beradik yang lain,” katanya kepada Gempak.
Seronok beraya di kampung
Samentara itu, ketika diminta mengulas mengenai keseronakan beraya di kampung, Dina berkata suasana di sana amat berbeza.
“Walaupun saya beraya di Johor Bahru dan bukanlah ada suasana kampung sangat, tapi saya dapat juga rasa suasana meriah.
“Lebih-lebih lagi apabila dapat beraya bersama keluarga dan juga jiran tetangga. Alhamdulillah, kami masih mengamalkan budaya bertukar-tukar juadah rdan disambut pula dengan kehadiran anak-anak kecil yang datang untuk kumpul duit raya.
“Setiap tahun saya memang akan minta mama masakkan Laksa Johor. Itu adalah makanan kegemaran saya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Dina masih lagi aktif dalam dunia nyanyian dan muncul dengan lagu raya baharu berjudul Raya Di Rumah Dinda.
Raya Di Rumah Dinda di bawah SuriaRecords (SRC) ini menampilkan gandingan Dina bersama kumpulan Xpose.
Raya Di Rumah Dinda menceritakan tentang sepasang kekasih yang meraikan Hari Raya bersama keluarga dan sahabat handai yang diterjemahkan dalam lagu dengan konsep seloka.
Idea ini tercetus apabila Xpose sendiri amat meminati lagu raya yang santai dan mudah untuk diikuti dengan menggabungkan Dina untuk menambahkan lagi kemeriahan lagu tersebut.
Must-Watch Video