HIBURAN
"Dibayar Mahal Tapi Tiga Jam Lambat, Tak Minta Maaf” – Fauzi Nawawi
Pelakon, Fauzi Nawawi mengakui pelakon baharu yang ditegurnya sebelum ini kerana datang lambat ke set penggambaran masih belum tampil memohon maaf, meskipun teguran terbukanya sudah tular dan mendapat perhatian ramai.
Fauzi, 52, berkata, dia menyuarakan isu itu bukanlah untuk mengaibkan sesiapa, sebaliknya berharap ia menjadi pengajaran kepada pelakon terbabit agar lebih menghormati masa dan profesionalisme sewaktu bekerja.
“Pelakon itu sedar apa yang saya katakan, tapi dia tidak datang minta maaf.
“Tujuan saya bercakap itu supaya pelakon tersebut sedar dan berubah,” katanya.
Fauzi berkata demikian ketika ditemui di Majlis pelancaran produk kaca mata Neon kolaborasi Xroov & RXZ Members di Mines Beach Resort pada Jumaat.
Jelasnya lagi, walaupun pernah berdepan pengalaman yang sama sebelum ini, insiden terbaharu itu dianggap paling teruk sepanjang penglibatannya dalam dunia lakonan.
“Sebelum ini pun saya memang ada pengalaman berdepan dengan masalah pelakon datang lambat tetapi ianya tidaklah seteruk seperti yang saya hadapi baru-baru ini.
“Mereka (pelakon baharu) dibayar mahal tapi mengapa tak boleh nak beri komitmen yang sebaiknya?
“Kalau setakat disidai (menunggu) satu atau dua jam tak apa lagi, ini sudah sampai tiga jam tanpa ada perkataan maaf.
“Bagi saya perkara ini tidak patut berlaku dan berharap tidak berulang pada masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fauzi turut menegaskan bahawa golongan pelakon baharu perlu lebih menghormati mereka yang lebih lama dalam industri serta seluruh tenaga kerja produksi.
“Sekarang ni saya masih belum dapat cara yang baik untuk menyedarkan para pelakon baharu supaya mereka menghargai pelakon-pelakon lama, menghargai masa dan menghormati seluruh krew produksi bekerja.
“Kepada pelakon baharu yang lain, sila ambil iktibar dengan apa yang berlaku ini. Kita bekerja dalam satu kumpulan.
“Kena ingat, seseorang pelakon tak akan mampu menguasai seluruh kualiti filem tetapi ia memerlukan kerjasama dari seluruh kumpulan (produksi).
“Seorang punya keburukan, boleh menjadi kepincangan seluruh produksi,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Fauzi pernah mendedahkan pengalaman tidak menyenangkan apabila terpaksa menunggu hampir tiga jam di lokasi penggambaran gara-gara kelewatan seorang pelakon baharu.
Must-Watch Video