Laman Utama
Datuk & Nenek Jual Cucu Perempuan RM1,600
Sepasang suami isteri di Kolkata, India, ditahan kerana menjual cucu perempuan mereka yang baru lahir pada harga 30,000 rupee (RM1,685), lapor stesen penyiaran NDTV baru-baru ini.
Bayi berusia 23 hari itu diselamatkan di daerah South 24 Parganas, manakala pasangan berkenaan ditahan di Bihar di mana mereka melarikan diri selepas menjualnya.
Aduan dibuat di balai polis Anandapur pada Rabu lalu oleh seorang wanita yang menyatakan bahawa anak perempuannya hilang.
Semasa siasatan, polis mendapati bayi berkenaan dijual kepada dua pengedar kanak-kanak. Mereka pula menjualnya kepada seorang wanita tanpa zuriat di Narendrapur pada harga berjuta-juta rupee.
Selain datuk dan nenek, polis berkata mereka juga telah menahan dua pengedar itu dan wanita yang membeli bayi berkenaan.
“Kami akan meneruskan siasatan untuk mengetahui bilangan orang yang terlibat dalam pemerdagangan ini. Bayi itu selamat dan berada dalam keadaan sihat,” kata seorang pegawai polis. – AGENSI
Must-Watch Video