China Tawar Insentif Kahwin Lebih RM900, Galak Pasangan Berumahtangga
Pasangan yang mendaftar perkahwinan di Luliang, wilayah Shanxi kini menerima insentif perkahwinan sebanyak 1,500 yuan (RM914) sebagai ganjaran dalam usaha meningkatkan kadar perkahwinan dan kelahiran yang semakin merosot.
Berdasarkan data rasmi, jumlah perkahwinan di China menurun sebanyak 20 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Kos sara hidup tinggi serta pasaran pekerjaan yang mencabar menjadi punca utama golongan muda enggan berkahwin.
Selain wang tunai, Luliang turut menawarkan insentif lain seperti subsidi dan sumbangan insurans kesihatan kepada bayi baru lahir.
Pasangan yang mempunyai anak pertama menerima 2,000 yuan (RM1,300), manakala jumlah meningkat bagi anak kedua dan ketiga.
Bagi pasangan yang baru berkahwin di Luliang, Zhang Gang dan Weng Linbin, insentif itu menjadi faktor tambahan dalam keputusan mereka untuk berkahwin.
“Kami memang merancang untuk berkahwin lebih awal, tetapi selepas mendengar tentang ganjaran ini, kami memutuskan untuk menunggu sedikit lagi,” katanya.
Zhang turut menyatakan bahawa polisi ini memberi galakan kepada pasangan muda.
“Saya rasa langkah ini sangat baik dalam memperbaiki situasi perkahwinan di China sekarang. Apabila saya beritahu kawan-kawan tentang polisi ini, mereka semua rasa ia menarik,” tambahnya.
Menurut seorang perunding jodoh di Luliang, ramai wanita berpendidikan tinggi sukar mencari pasangan kerana lelaki cenderung memilih yang taraf pendidikan lebih rendah.
Di beberapa daerah lain, kerajaan turut menawarkan ganjaran lebih besar seperti di Tianmen, Hubei, keluarga dengan tiga anak boleh menerima subsidi sehingga 165,000 yuan (RM107,000).