HIBURAN
Cedera Di Bahagian Lutut Selepas Perlawanan, Hun Haqeem Terpaksa Dikejarkan Ke Hospital - "Doakan Hun Tidak Mengalami..."
Pelakon Hun Haqeem dilaporkan terpaksa menerima rawatan di sebuah hospital swasta selepas tamat perlawanan menentang sahabatnya, Ikmal Amry dalam Fury Championship yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, malam Jumaat.
Menurut pengurusnya, Afdal Shahizad Zainudin, aktor itu mengalami kecederaan pada bahagian lutut kanan menyebabkan dia perlu mendapatkan rawatan lanjut.
Namun, dia tidak dapat memberikan jawapan yang tepat sama ada kecederaan yang dialami oleh Hun terlalu serius atau tidak.
“Setakat ini keadaannya stabil namun memang dia mengalami kecederaan dilutut kanan selepas pertarungan semalam.
“Hun akan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan susulan hari ini. Melihat keadaan dia tadi, tidak terlalu serius, namun Hun akan melakukan pemeriksaan lanjut untuk pengesahan kondisi lututnya daripada doktor,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Dalam pada itu, Afdal juga memohon kepada semua pihak mendoakan kesihatan Hun supaya segera pulih.
“Doakan Hun tidak mengalami kecederaan serius, dan kembali kuat. Terima kasih diatas sokongan,” katanya.
Terdahulu, Hun tewas di tangan Ikmal dalam pertarungan yang berlangsung selama tiga minit di gelanggang Fury Championship.
Perlawanan hebat antara dua selebriti itu bermula tepat pada pukul 12.01 tengah malam semalam dan disaksikan oleh seramai 1,700 penonton di Zepp KL selain turut disiarkan secara live di media sosial.
Fury Championship merupakan kejohanan sulan tempur pertama dianjurkan di Malaysia.
Kejohanan ini menampilkan barisan pejuang profesional, pencabar amatur, pempengaruh, serta selebriti, menjanjikan pengalaman penuh adrenalin bagi peminat sukan tempur.
Diasaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wafiy dan Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) Jaasuzuran, Fury Championship lahir daripada minat mendalam mereka terhadap sukan tempur serta visi untuk membawa industri sukan ini ke tahap lebih tinggi.
Mengambil inspirasi daripada gergasi global seperti ONE Championship, Jaa dan Wafiy berhasrat menjadikan Fury Championship sebagai platform utama sukan tempur di Malaysia.
BERITA BERKAITAN: Ikmal Amry Berjaya Tewaskan Hun Haqeem Di Fury Championships - “ Saya Kasihan Tapi Benda Dah Jadi”
BERITA BERKAITAN: “Saya Rakam Cara Dia Berjalan & Bercakap” - Hun Haqeem Kongsi Pengalaman Menjiwai Watak Dalam Filem ‘Soloz: Game Of Life’
BERITA BERKAITAN: Hun Haqeem Simpan Impian Untuk Anjur Pertandingan MMA Antara Selebriti - “Ini Adalah Langkah Pertama Saya Dalam Meneroka Bidang…”
Must-Watch Video