HIBURAN
"Bukankah Lebih Baik Kalau Kita Fokus Nikmati Hidangan Raya Daripada Sibuk Bergosip Fasal Orang Lain?" - Sherry Alhadad
Pengacara Sherry Alhadad mengakui tidak pernah menyangka untuk mendapat lagu raya nyanyian sendiri pada tahun ini.
Jelas Sherry, selama ini dia sentiasa menginginkan untuk mempunyai lagu raya sendiri dan impian itu menjadi realiti apabila dilamar Sony Music Malaysia untuk berkolaborasi dengan Ain Edruce menerusi lagu Balik Kampung…Gosip Raya.
"Setiap tahun, saya akan menyanyi lagu raya tetapi secara santai dan berjenaka dalam mana-mana program raya yang saya kendalikan. Tapi pernah juga terfikir, seronok kalau ada sebuah lagu raya sendiri. Jadi bila Sony Music Malaysia menawarkan projek ini, saya tak fikir panjang untuk terima," katanya dengan penuh semangat.
Berbeza dengan Ain yang pada mulanya agak skeptikal, Sherry melihat peluang ini sebagai satu rezeki yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Malah, dia percaya Balik Kampung…Gosip Raya akan menjadi lagu raya yang segar dan dekat di hati pendengar kerana liriknya mencuit hati dan penuh dengan realiti kehidupan orang kita setiap kali musim perayaan tiba.
"Lagu ini bukan sekadar lagu raya biasa seperti kebanyakan lagu lain, sebaliknya ia menggambarkan kemeriahan Aidilfitri dengan cara yang unik. Saya sendiri boleh ‘rasa’ vibe ceria yang cuba disampaikan menerusi bait liriknya," ujar Sherry.
Lagu Balik Kampung…Gosip Raya yang turut mendapat kerjasama AEON ini adalah hasil ciptaan komposer Eugene Lai, Ja’a, Karazey dan Wan Adam Kelly, manakala liriknya pula ditulis oleh Adam Armin, Adly Kiddy, Eugene Lai, Fatto, Ja’a serta Yusuff Khan. Projek ini dikatakan sebagai satu usaha untuk membawa warna baharu kepada seleksi lagu raya tempatan.
Bercerita mengenai pengalaman rakaman bersama Ain, Sherry tidak dapat menahan gelak apabila mengenang kembali momen lucu mereka di dalam studio. "Kami berdua keliru dengan vokal masing-masing! Masa rakaman, kami macam tak boleh bezakan mana satu suara saya dan mana satu suara Ain. Nasib baik ada cikgu Afif yang membantu. Memang pengalaman yang tak boleh dilupakan!" katanya sambil ketawa.
Lebih menarik, muzik video Balik Kampung…Gosip Raya yang bakal dilancarkan pada 22 Mac 2025 (Sabtu, 8 malam) juga menampilkan elemen nostalgia dan moden dalam satu paparan istimewa bertemakan “Seloka Raya - Dari Dulu Hingga Kini”.
Menurut Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran AEON Malaysia, Low Ngai Yuen, AEON memilih untuk bekerjasama dengan Sony Music Malaysia kerana keupayaan mereka menggabungkan budaya dengan muzik kontemporari secara kreatif.
“Keunikan Sony dalam menghasilkan muzik yang merentasi generasi selari dengan tema Raya AEON tahun ini iaitu ‘Seloka Raya – Dari Dulu Hingga Kini’,” katanya.
Bagi Sherry, harapannya cukup jelas, dia mahu lagu ini diterima baik oleh peminat dan berjaya menembusi corong radio tempatan sebagai salah satu lagu raya wajib dengar tahun ini.
Malah, Balik Kampung…Gosip Raya bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi boleh dijadikan ‘wake-up call’ untuk kita semua agar tidak asyik bergosip dan bercakap mengenai orang lain di hari raya nanti.
"Bukankah lebih baik kalau kita fokus menikmati hidangan raya daripada sibuk bergosip tentang orang lain? Jadi, kalau tidak mahu menjadi bahan gosip, eloklah dengarkan lagu ini dan ambil iktibar," katanya berseloroh.
Balik Kampung…Gosip Raya kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Apple Music, Spotify dan YouTube Music. Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.
Selain Ain dan Sherry, muzik video lagu ini turut menampilkan Hafiz Hamidun, Vanessa Reynauld, Adrianna Cinta, Salwa Siw, OG Gree, Afif Tirmizie dan bintang hip hop terkenal, Kidd Santhe, yang bakal memeriahkan suasana perayaan.
Must-Watch Video