Hiburan
“Bukan Saya Yang Letak Wang Dalam Tepung Gandum” - Aamir Khan Nafi Sumbangannya
Pelakon Bollywood terkenal Aamir Khan menafikan tindakan menyembunyikan sejumlah wang di dalam tepung Gandum untuk diberikan kepada orang miskin di India.
Menerusi laman sosial Twitter, Aamir memuat naik satu kicauan bagi menjelaskan perkara itu.
“Guys, bukan saya yang letakkan wang dalam tepung gandum. Cerita ini sama ada palsu ataupun ada Robin Hood yang tidak mahu identitinya terdedah. Tolong jaga diri,” tulis Aamir menerusi satu kicauan.
Minggu lalu, kisah pemberian tepung gandum yang dipaketkan setiap 1 kilogram untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas ekoran wabak COVID-19 menjadi tular.Guys, I am not the person putting money in wheat bags. Its either a fake story completely, or Robin Hood doesn't want to reveal himself! Stay safe. Love. a.— Aamir Khan (@aamir_khan) May 4, 2020
Dikatakan dalam setiap paket gandum itu tersembunyi wang tunai bernilai 15,000 Indian Rupee (RM858) hasil sumbangan aktor tersebut.
Hasil tinjauan Gempak di Twitter, rata-rata wargamaya memuji kejujuran yang ditunjukkan oleh Aamir.
Malah, ramai yang memberikan cadangan agar Aamir melakukan teknik sumbangan seperti itu untuk membantu rakyat India yang memerlukan.
“Saya tak rasa ada bintang lain yang akan memberi penjelasan jika ada khabar angin yang baik untuk imej mereka. Sukakan kejujuran dan rasa rendah diri Aamir,” puji seorang wargamaya.
“Kalau perkara ini tidak betul, apa kata awak jadikan sumbangan ini satu realiti?” tanya seorang wargamaya.
“Terima kasih kerana mendedahkan bukan awak yang melakukannya. Sekarang inilah masanya awak letak duit dalam tepung gandum,” komen seorang wargamaya.
“Robin Hood tu boleh jadi diri awak sendiri? Sebab awak tak mahu mendedahkan diri,” kata seorang wargamaya lagi.
Sehingga kini, kicauan Aamir tersebut telah mendapat hampir 9,000 ulang kicau dan 90,000 tanda suka daripada warga Twitter.
Must-Watch Video