HIBURAN
Bukan Lagi Rahsia, Ramona Zamzam Dedah Identiti Sebenar Lelaki Yang Dipanggil ‘Ayah’ Sejak Kecil - “Dia Bukan Bapa Kandung Saya Tapi…”
Enggan lagi berahsia, pelakon Ramona Zamzam mendedahkan identiti lelaki yang dipanggil ayah selama ini bukanlah bapa kandungannya.
Menerusi temu bual bersama Podcast Bukak Mulut, Ramona memberitahu dia kini dalam fasa ingin membiarkan sahaja apa yang orang mahukan perkatakan mengenai kehidupannya.
“Sebenarnya, lelaki yang saya panggil ayah selama ini bukanlah ayah kandung saya. Dia adalah ayah tiri saya.
“Perkara ini saya rahsiakan sejak sekian lama. Tapi sekarang saya sudah sampai ke satu fasa dalam hidup di mana saya rasa tidak mengapa jika orang tahu,” katanya.
Tidak pernah bertemu dengan bapa kandungnya, namun Ramona memberitahu dia ada berbual sekali melalui telefon sewaktu di bangku sekolah rendah.
Bagaimanapun, menurut Ramona, dia yakin bapanya tidak berminat untuk bertemu dengannya berdasarkan perbualan ketika itu selain membiarkan ibu membesarkannya.
“Saya cuba cari dia masa kecil, dan pernah bercakap di telefon sekali. Tapi daripada cara dia bercakap, saya dapat rasa dia langsung tak berminat nak jumpa saya. Seolah saya sahaja yang teruja nak jumpa dia.
“Masa itu, mak dah kahwin dengan ayah tiri. Tetapi semasa bercakap dengan ayah kandung di telefon ketika itu, saya masih ingat dia cakap ‘Mak awak kerja, mak ada duit, jadi biarlah mak jaga awak.’
“Daripada situ saya sedar, dia memang tak ambil peduli pasal saya, dia tak kisah pun pasal anak dia dan tiada usaha pun hendak cari. Saya rasa perkara itu telah menguatkan lagi semangat untuk meneruskan kehidupan,” katanya lagi.
Biarpun begitu, aktres itu tetap bersyukur kerana dia dibesarkan penuh kasih sayang oleh bapa tirinya sekali gus sangat menghargai lelaki itu.
“Ayah tiri saya, Zamzam, sangat istimewa dalam hidup saya. Walaupun bukan ayah kandung, tapi hubungan kami sangat rapat.
“Dialah yang membesarkan saya dan memberikan kasih sayang seperti anak sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ramona berkata kehidupannya kini agak mencabar apabila kesihatan bapa tirinya semakin merosot selepas disahkan lumpuh.
“Sekarang fokus saya adalah kepada keluarga, terutamanya ayah. Keadaan kesihatan ayah yang semakin merosot dan lumpuh menjadikan perjalanan ini sangat mencabar dan menyedihkan.
“Ia satu perjalanan yang benar-benar mencabar buat saya yang orang lain tak tahu,”katanya.
Must-Watch Video