BERITA
Budak Lelaki Lima Tahun Maut Tertinggal Hampir 5 Jam Dalam Van Sekolah
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah van sekolah selepas dipercayai tertinggal dalam kenderaan itu selama hampir lima jam di Taman Bukit Indah, Isnakdar, Puteri tengah hari Rabu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam van berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari.
"Mangsa yang bersekolah di sebuah tadika di Taman Bukit Indah dikatakan menaiki van dari kediaman keluarganya sebelum tiba di hadapan tadika sekitar jam 7.30 pagi.
“Bagaimanapun, mangsa dipercayai tertinggal di dalam van selepas pemandu menurunkan kanak-kanak lain di hadapan tadika tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Kumarasan berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun yang bekerja sebagai pemandu van sekolah itu telah ditahan di kawasan Taman Bukit Indah pada jam 2.40 petang hari yang sama.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga menunjukkan keputusan negatif dadah.
“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian dan kecuaian terhadap kanak-kanak,” jelasnya.
Must-Watch Video