BERITA
Budak 10 Tahun Dirogol & Dibunuh, Mayat Dicampak Dari Tingkat 6 Pangsapuri
Seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan kerana disyaki menculik, merogol dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun sebelum mencampakkan mayatnya dari tingkap bilik mandi kediamannya di tingkat enam sebuah pangsapuri di Mumbra, Thane, India.
Menurut pihak berkuasa, kejadian tragis itu berlaku pada malam 7 April 2025 di sebuah pangsapuri 10 tingkat di kawasan Samrat Nagar.
Mangsa yang bukan penghuni bangunan tersebut dipercayai telah dipujuk oleh suspek dengan tawaran mainan sebelum dibawa ke rumahnya.
Suspek didakwa merogol mangsa, kemudian membunuhnya dengan senjata tajam dan seterusnya mencampakkan tubuh kanak-kanak itu melalui tingkap bilik mandi rumahnya.
Ketua Bahagian Pengurusan Bencana Perbandaran Thane, Yasin Tadvi berkata, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 11.48 malam Isnin.
Susulan itu, polis bersama pasukan bomba, pengurusan bencana dan ambulans swasta segera bergegas ke tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudian ditemui dalam saluran menegak bangunan yang sempit dan operasi mengeluarkannya amat mencabar.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Chhatrapati Shivaji Maharaj di Kalwa dan disahkan meninggal dunia.
Laporan awal forensik mengesahkan bahawa mangsa telah dirogol dan lehernya dikelar.
Berdasarkan siasatan awal, suspek kini berdepan pelbagai pertuduhan berat di bawah Kanun Jenayah Bharatiya (BNS) termasuk: Seksyen 64 dan 65 berkaitan jenayah rogol terhadap kanak-kanak bawah umur, Seksyen 96 (memperdaya kanak-kanak), Seksyen 137(2) (penculikan),Seksyen 103 (pembunuhan),Seksyen 238 (menghapuskan bukti jenayah) serta peruntukan di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO).
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video