Laman Utama
Big Stage 2022: Markah Juri Lebih Tinggi Daripada Tegar, Tapi Markah Undian Online Sikit, Ajoi Zainal Tak Mahu Salahkan Sesiapa Gagal Mara Ke Final
Penyanyi Ajoi Zainal reda atas keputusan yang diberikan dan tidak menyalahkan sesiapa apabila dirinya tidak berjaya lolos ke peringkat akhir Big Stage 2022.
Sungguhpun juri memberikan markah yang lebih kepadanya berbanding Tegar, namun, Ajoi menganggap hal itu sebagai satu yang telah tertulis daripada yang Maha Esa.
“Terkejut apabila mendapat tahu saya tidak berjaya ke minggu akhir Big Stage 2022. Tetapi, saya percaya pada rezeki dan rezeki saya setakat ini sahaja.
“Tipulah kalau tak sedih sebab tinggal satu langkah sahaja. Tapi Allah dah tulis rezeki saya sampai di sini maka saya reda.
Melihat pada keputusan, markah daripada juri yang diterima oleh Ajoi lebih tinggi berbanding rakan seperjuangan, Tegar Septian. Begitupun, Ajoi tersungkur kerana undian online tidak menyebelahinya.
“Mengenai markah pemberian juri untuk Tegar lebih rendah dan markah undian penonton saya juga rendah, saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Sudah format pertandingan sebegitu.
“Sebab seperti yang saya katakan, kita perform bagus macam mana pun, kalau sudah sampai sini sahaja Allah kata, maka di sini saya berhenti,” katanya kepada Gempak.
Sungguhpun sedih dengan keputusan yang diterima pada malam semalam, Ajoi percaya rezekinya dalam bidang muzik ada di mana-mana.
“Pada awalnya saya pun berbolak-balik sama ada nak masuk Big Stage 2022 ke tidak sebab saya sudah ada single baharu yang belum diterbitkan. Tetapi label saya push saya untuk masuk bagi membina nama.
“Insya-Allah, saya akan muncul dengan single yang telah siap itu. Cuma judul dan tarikh pelancaran masih lagi rahsia. Jika sudah ada tarikhnya saya akan beritahu kelak,” katanya lagi.
Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad, penerbitan Big Stage 2022 turut disokong oleh CUCKOO dan OPPO selaku Penaja Utama. Portal Gempak dan aplikasi SYOK turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA pula hadir sebagai Radio Rasmi.
Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing- masing bakal membawa pulang RM15 ribu, RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.
Rangkaian program Big Stage 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 6 Februari serta turut boleh turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Seramai lima peserta berjaya mara ke peringkat akhir iaitu Aisha Retno, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin dan Tegar Septian.
Terdahulu, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama (2018). Bintang Korea Selatan, Han Byul muncul sebagai juara musim kedua (2019). Manakala Azzam Sham pula diangkat sebagai juara musim ketiga (2020).
Must-Watch Video