VIRAL
"Beri Ruang PDRM Siasat Terperinci Kes Kematian Zara Qairina" - Fadhlina
Kementerian Pendidikan (KPM) mengulangi jaminan bahawa siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, sedang dijalankan secara telus dan adil.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, justeru meminta semua pihak memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu.
"Kita menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan siasatan itu.
"Kita juga memberi sepenuh komitmen bagi memastikan siasatan itu berlangsung dengan adil," katanya kepada pemberita.
Beliau sekali gus menjelaskan bahawa KPM akan melaksanakan tindakan susulan berasaskan undang-undang sedia ada, selepas siasatan itu selesai.
Fadhlina turut menegaskan pihaknya tidak memandang remeh mana-mana kes membabitkan warga KPM.
Malah ketika ini, katanya, KPM sudah memulakan beberapa intervensi krisis, termasuk sokongan psikologi dan emosi kepada warga sekolah serta keluarga mangsa.
"Kita juga mendapat pertolongan penuh daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang memberi tumpuan kepada aspek psikoemosi keluarga dan warga sekolah terbabit," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Zara Qairina, 13, meninggal dunia dipercayai selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 17 Julai lalu di Papar, Sabah.
Ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, yang juga seorang guru, dilapor mahukan siasatan telus, adil dan saksama terhadap kes kematian anak tunggalnya itu yang didakwa menjadi mangsa buli.
Must-Watch Video