Filem
Benarkah Penantian Siksa Kubur Sudah Berakhir?
Persoalan peminat di Malaysia untuk tarikh tayangan filem terbaru Joko Anwar, Siksa Kubur (yang diubah tajuk menjadi Siksa) kini terjawab.
Filem psychological horror itu boleh ditonton di pawagam seluruh negara mulai 30 Mei ini dengan klasifikasi 18.
Siksa Kubur yang ditayangkan di Indonesia sejak musim lebaran lalu bukan saja menerima sambutan box-office, tetapi diterima baik peminat mahupun pengulas filem di sana.
ARTIKEL BERKAITAN: Selepas Filem Vina: Sebelum 7 Hari Tular, Suspek Rogol & Bunuh Yang ‘Hilang’ 8 Tahun Lalu Ditahan!
ARTIKEL BERKAITAN: 8 Tahun Berlalu, Linda Didakwa Kerasukan Arwah Vina Sekali Lagi… Namun Netizen Susah Nak Percaya!
Sinopsisnya berkisar mengenai seorang gadis bernama Sita yang kepercayaannya kepada agama menjadi sinis apabila ibu bapanya menjadi korban pengebom berani mati dan adik lelakinya menjadi mangsa gangguan seksual di sekolah pondok.
Akibat dari itu, Sita yang mahu kembali mempercayai Allah, ingin mencari lelaki yang menurutnya paling kejam dan paling berdosa. Dia mahu mengiringi kematian lelaki itu dengan tubuhnya disemadikan bersama mayat lelaki itu di bawah tanah secara hidup-hidup. Sita ingin melihat sendiri jika balasan Allah kepada orang yang berdosa itu benar dan siksaan kubur itu memang wujud.
Dengan plot cerita yang sensitif, kompleks dan kontroversial, tidak hairanlah mengapa Siksa Kubur mengambil masa yang lama untuk lulus tayangan di Malaysia.
Begitu pun selepas menonton ‘versi baru’ filem ini dengan judul yang baru, rata-rata penonton merasakan ia sukar difahami – kerana beberapa babak secara jelas telah disunting dan diubahsuai mengikut garis panduan. Malah penamatnya juga mengelirukan.
Sebagai peminat, dalam kita ingin memahami dan menerima secara rasional tentang syarat dan peraturan yang harus dipatuhi, pengalaman menonton juga penting.
Sesuatu yang mengecewakan apabila penonton yang sudah ‘terbawa’ dan percaya dengan perjalanan cerita sejak awal – apatah lagi filem ini memang dibikin dengan teliti dan kemas - menjadi keliru menuju ke penghujung cerita. Barangkali pengalaman menonton filem terbaru Joko di pawagam kali ini bukanlah pengalaman yang terbaik.
Barangkali juga penantian peminat di Malaysia untuk menyaksikan filem ini sebenarnya masih belum berakhir, kerana apa yang dipertontonkan bukanlah ‘naskhah asal’.
Siksa dibintangi Faradina Mufti, Reza Rahadian, Christine Hakim, Putri Ayudya dan Fachry Albar.
ARTIKEL BERKAITAN: Sheriff: Dapat Sokongan Padu Tayangan Di Indonesia, Joko Anwar Pun Tak Sabar Nak Tonton
ARTIKEL BERKAITAN: Lokasi Penggambaran Pengabdi Setan 2 Tular, Rumah Pangsa Seram Ditutup! Rupanya Dah Lama Tak…
Must-Watch Video