HIBURAN
Bekas Pemain Bola Sepak Kini Jual Air Jagung, Jadikan Amir Raja Lawak Sebagai Inspirasi - “Pada Mulanya Hanya Untuk Isi Masa Lapang…”
Air jagung yang dijual oleh bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohammad Gopi Rizqi, 36, di hadapan rumahnya di Kampung Api-Api, Pontian Johor, terjual lebih 150 bungkus setiap hari.
Tak kisah jual air balang
Menurut pemain Sri Pahang FC itu, pada mulanya dia hanya sekadar mencuba untuk menjual air balang termasuklah air jagung dan air mata kucing selepas tidak bermain bila sepak Ramadan tahun ini kerana Liga M3 musim 2024 sampai ke penghujungnya.
Katanya lagi, pada hari pertama jualan bagi kedua-dua air balang itu hanya laku sekitar 30 bungkus, namun setelah kisahnya tular, kini dia tidak menang tangan.
“Alhamdulillah rezeki itu ada, pada mulanya menjual air balang ini hanyalah untuk mengisi masa lapang ketika Ramadan dan mencari ‘duit poket’ untuk Aidilfitri.
“Tetapi setelah sambutan menggalakkan, saya akan fikirkan untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan selepas raya nanti.
“Saya juga cukup terkejut apabila ada peminat yang datang dari jauh untuk membeli air balang. Kini, saya bukan sahaja sibuk membungkus air tetapi perlu melayan dan bergambar bersama mereka,” katanya seperti dilapor Bernama.
Jadikan Amir Raja Lawak sebagai inspirasi
Menjadikan kejayaan pelawak terkenal Amir Raja Lawak yang turut menjual air jagung sebagai inspirasi, kata Gopi, dia perlu memikirkan masa depannya untuk terus berniaga kerana kebiasaannya bagi pemain bola sepak berusia seperti itu sudah berada di penghujung karier.
Malah dia juga tidak menyangka jualan air balang itu turut mendapat perhatian bekas majikan, yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail.
“Saya menerima panggilan daripada Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor itu pada Khamis lepas dan diminta hadir ke Johor Bahru pada Jumaat untuk bertemu baginda.
“Saya tidak sangka TMJ (Tunku Ismail) masih mengenali saya selepas kali terakhir saya bermain dengan JDT pada 2017.
“Perasaan saya bercampur-baur, ada gembira, terharu dan juga bangga kerana baginda masih mengingati saya,” ujarnya.
Terdahulu, semasa zaman kegemilangannya, Gopi bermain bersama beberapa pasukan seperti Pahang dari 2010-2015, Selangor (2016), JDT (2017-2018), Melaka United (2018), Polis Diraja Malaysia (PDRM) (2019) dan Pahang (2020), serta turut menyarung jersi Harimau Malaya bermula 2012 hingga 2015.
Sumber: Bernama
Must-Watch Video