VIRAL
Bazar Aidilfitri Anjung Syawal Catat 1 Juta Pengunjung, Peniaga Raih Jualan Hingga RM100,000!
Bazar Aidilfitri Anjung Syawal iaitu sebahagian daripada Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025 mendapat sambutan luar biasa pengunjung yang tidak putus-putus berbelanja di bazar terbesar di Lembah Klang itu sejak 28 Februari lalu sehingga malam raya.
Menawarkan harga ditawarkan berpatutan dengan kepelbagaian pilihan produk, Anjung Syawal telah mencetus fenomena luar biasa dengan kehadiran lebih satu juta pengunjung sepanjang ianya berlangsung.
Kejayaan ini turut dirasai oleh para peniaga dengan beberapa gerai mencatatkan jualan mencecah RM100,000 sekaligus menjadikan bazar ini sebagai destinasi utama sambutan Aidilfitri di Malaysia.
.jpg)
“Kami pada mulanya menyasarkan jualan mencecah RM10 juta merangkumi pelbagai produk dan segmen pasaran memandangkan bazar terbesar di Lembah Klang ini telah memasuki tahun ke-13 penganjurannya dan sentiasa mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.
"Sasaran itu bagi membolehkan setiap lot niaga menjana jualan sehingga RM30,000 di mana kebanyakan peniaga berjaya mendapat kembali modal menyewa tapak reruai seawal minggu pertama Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan.
Anjung Syawal yang berlangsung selama 33 hari sejak 28 Februari lalu berakhir pada 30 Mac lalu. Ia dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya sempena Festival Ramadan Putrajaya dengan tema Memori Ramadan, Aspirasi Syawal.
.jpg)
Selain membeli-belah, pengunjung turut menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan kebudayaan, cabutan bertuah, dan segmen baharu seperti "Pangkin Seni" dan "Serambi Santai," yang menyediakan ruang untuk persembahan seni dan budaya.
Kemudahan seperti ruang solat, kawasan berbuka puasa berkonsepkan berkelah di padang berhadapan Perbadanan Putrajaya, dan sistem pembayaran tanpa tunai memberikan keselesaan dan memudahkan pengunjung.
Rayme menambah, antara tarikan utama Anjung Syawal tahun ini apabila buat julung kalinya, lagu tema dan video muzik Anjung Syawal bertajuk Raya Sebenarnya turut diperkenalkan, dinyanyikan oleh Rayme sendiri bersama penyampai radio Feeya Iskandar atau lebih dikenali sebagai Cik Piah.
Katanya, selain itu, kolaborasi khas antara Anjung Syawal dan Yang Riang Raya turut diadakan dengan menampilkan pempengaruh popular, Pinn Yang serta selebriti yang berniaga di bazar ini, antaranya Liza Abdullah, Shahz Jazle, Rezza Shah OIAM dan Ayie Floor88.
Ujarnya, turut menarik perhatian pengunjung apabila kemunculan istimewa Bidunita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan persembahan artis popular seperti Aina Abdul, Khai Bahar, Amir Masdi, Ara Johari Nadeera Zaini dan Bella Astillah.
“Konsep Anjung Syawal juga tahun ini juga bukan sekadar mengekalkan warisan budaya Melayu, tetapi turut menyuntik elemen moden dalam sambutan Ramadan dan Syawal.
“Kami mahu menghubungkan warisan budaya dengan inovasi masa kini serta menarik minat masyarakat, khususnya generasi muda, untuk lebih mengenali budaya bangsa.
“Sebagai penganjur, kami berhasrat menerapkan rasa kecintaan terhadap tradisi agar ia terus dihargai walaupun masyarakat kini dilanda arus kemodenan digital serta budaya luar,” katanya.
Raydiates Blue dengan kerjasama Majlis Perwakilan Peduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya turut memeriahkan lagi sambutan menjelang Syawal dengan menganjurkan Majlis
Pelancaran ‘Malam Tujuh Likur’ pada 21 Mac 2025 di mana aktiviti budaya seperti memasang panjut dan bermain bunga api dilakukan di Laman Iftar bersama pengunjung yang hadir dalam memberikan pengalaman baru di Anjung Syawal.
“Sebagai keunikan yang tiada di bazaar Aidlifitri yang lain, kami berkolaborasi bersamaKelab Usahawan Putrajaya (KUPPUTra) bagi menyediakan perkhidmatan ubah suai (alteration) pakaian kepada pengunjung Anjung Syawal di mana mendapat sambutan menggalakkan, selain menyediakan khemah berhawa dingin bagi memberi keselesaan kepada pengunjung yang ingin membeli belah bersama keluarga," tambahnya.
Menurut Rayme, “kami amat berbangga dengan sambutan luar biasa ini di mana Anjung Syawal bukan sahaja menjadi platform untuk peniaga kecil dan sederhana, tetapi juga simbol perpaduan dan kemeriahan budaya sempena Aidilfitri.
“Dengan pencapaian yang luar biasa ini, Anjung Syawal 2025 terus mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi utama membeli belah persiapan Syawal yang terbesar di Putrajaya dan Lembah Klang selain memberi pengalaman unik keindahan sambutan menjelang Aidilfitri meningkat ekonomi negara sambil menyokong peniaga tempatan,” katanya.
Must-Watch Video