Berita
Bantuan Kotak Makanan, Edaran Bubur Lambuk, Bantuan Khas Gaza… Ini Antara Inisiatif Yayasan Nurjiwa Menerusi Kempen Infaq Ramadan
Bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan, Yayasan Nurjiwa telah melancarkan Kempen Infaq Ramadan bagi mempelawa orang ramai untuk bersama-sama mengimarahkan budaya bersedekah.
Pengasasnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan untuk menambah pahala. Justeru, Yayasan Nurjiwa berhasrat menggandakan jumlah sumbangan pada bulan Ramadan tahun ini dengan mengatur beberapa program khas infaq.
“Marilah kita mengambil peluang untuk menderma pada bulan Ramadan yang dilimpahi banyak kelebihan yang dijanjikan Allah SWT kepada hamba-Nya.
“Semoga setiap kebaikan bersedekah akan Allah kurniakan pahala berlipat ganda,’’ katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Antara program yang diaturkan khusus sepanjang bulan puasa termasuklah bantuan kotak makanan kepada golongan asnaf, menganjurkan majlis iftar, menyediakan juadah berbuka puasa dan moreh di surau serta masjid.
“Bantuan kotak makanan yang dinamakan Bantuan Nur-Muhamad ini memberikan keutamaan kepada golongan susah yang dikenal pasti oleh pihak yayasan sendiri. Sebelum bulan Ramadan, wakil yayasan turun padang untuk mencari golongan asnaf yang kehidupan mereka benar-benar daif.
“Ia bertujuan supaya golongan asnaf juga akan turut merasai kemeriahan menyambut Ramadan dan Syawal menerusi bantuan yang diberikan.
“Selain mengedarkan Al-Quran dan sejadah, Yayasan Nurjiwa turut membantu membaik pulih kerosakan di masjid dan surau yang telah dikenal pasti bagi memastikan para jemaah beribadah dengan lebih selesa,” katanya.
Yayasan Nurjiwa turut merancang untuk mengadakan edaran bubur lambuk kepada orang ramai serta memberikan sumbangan baju raya kepada anak-anak yatim, golongan asnaf serta golongan kurang berkemampuan.
Selain itu, bantuan khas ke Gaza merupakan misi yang diteruskan oleh pihak yayasan dan saluran bantuan ke negara yang sedang dilanda perang itu telah dimulakan seawal 11 Oktober 2023 hingga kini.
Selama hampir lima bulan bantuan ke Gaza dilakukan tanpa henti dan Yayasan Nurjiwa menerusi wakilnya di sana telah memberikan sumbangan kewangan, makanan, air bersih, pakaian dan pelbagai keperluan lain.
Kempen Infaq Ramadan ini juga diharapkan dapat menampung sumbangan berterusan di mana keadaan rakyat Palestin yang kini berada di Rafah sangat memerlukan pertolongan terdesak terutama makanan.
Kempen Infaq Ramadan ini merupakan salah satu kesinambungan program yang dianjurkan oleh Yayasan Nurjiwa sebelum ini iaitu Kempen Jihad dan Kempen Tabung Sedekah Subuh. Kini yayasan akan meneruskan lima misi bantuan iaitu kebajikan, kemanusiaan, agama, pendidikan dan bantuan khas Palestin daripada Kempen Infaq Ramadan.
Sumbangan untuk Kempen Infaq Ramadan ini boleh disalurkan ke akaun Yayasan Nurjiwa: Maybank 514486106455.
Sebarang pertanyaan mengenai aktiviti dan sumbangan kepada Yayasan Nurjiwa, sila layari laman sesawang rasmi www.nurjiwafoundation.org dan e-mel ke general@nurjiwafoundation.org.
BERITA TRENDING: Yayasan Nurjiwa Beri Sumbangan Kepada Ross Ariffin - "Walaupun Tak Dapat Bertemu..."
BERITA TRENDING: Siti Nurhaliza Terharu, Dedah Kak Lina Sumbang RM10,000 Buat Palestin - “Moga Allah Limpahkan Rezeki…
Must-Watch Video