BERITA
Bakal Ibu Mentua Larikan Diri Bersama Tunang Anak, Dakwa Jatuh Cinta
Seorang wanita dari Aligarh, Uttar Pradesh ditahan polis selepas dilaporkan melarikan diri bersama tunang anak perempuannya seminggu sebelum majlis perkahwinan mereka berlangsung.
Menurut laporan Live Hindustan, wanita berkenaan, Apna Devi, mengaku telah jatuh cinta dengan bakal menantunya itu.
Namun, dia menafikan dakwaan membawa lari wang tunai atau barangan kemas dari rumah.
“Saya benar-benar mencintainya dan ingin hidup bersama dengannya,” katanya.
Sementara itu, suaminya, Jitendra Kumar mendakwa isterinya melarikan diri bersama tunang anak mereka yang dikenali sebagai Sushant, serta membawa wang tunai sebanyak 300,000 rupee (kira-kira RM15,600) dan barangan kemas bernilai lebih 500,000 rupee (kira-kira RM26,000) yang disediakan untuk majlis perkahwinan anak mereka pada 16 April.
Kumar berkata, dia tidak menyangka hubungan isterinya dengan bakal menantu yang sebelum ini hanya berbual melalui telefon akan berakhir dengan skandal yang memalukan.
“Isteri saya sering berbual berjam-jam dengan tunang anak kami, tetapi kami tidak pernah menyangka perkara akan jadi begini. Dia telah memusnahkan hidup kami,” katanya kepada agensi berita PTI.
Bagaimanapun, Apna Devi tampil dengan versi berbeza. Dia mendakwa suaminya sering mempersoalkan maruah dirinya dan pernah mencabarnya supaya melarikan diri bersama tunang anak mereka.
Pasangan tersebut dikatakan telah menginap di sebuah hotel di Sitamarhi, Bihar dan turut sampai ke sempadan Nepal sebelum akhirnya menyerah diri kepada polis.
Menurut laporan Deccan Herald, ini bukan kali pertama Sushant terlibat dalam kes seumpama itu.
Tahun lalu, dia pernah melarikan diri bersama seorang wanita dari kampung lain, sebelum kembali selepas dua bulan. Keluarga wanita tersebut bagaimanapun enggan mengambil sebarang tindakan terhadapnya dan tidak membuat laporan polis.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video