BERITA
Awas! Penjawat Awam Tak Boleh Main TikTok, Facebook Waktu Bertugas
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menegaskan penjawat awam tidak boleh aktif bermain media sosial seperti TikTok dan Facebook sewaktu sedang bertugas.
Beri tumpuan terhadap kerja
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, penjawat awam perlu memberi tumpuan penuh terhadap tugas semasa waktu kerja sebagaimana yang dinyatakan dalam surat edaran rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh Jun 2013.
"Penggunaan media sosial sewaktu bertugas tanpa keperluan rasmi boleh dianggap menjejaskan produktiviti dan menyalahi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993].
"Oleh itu, CUEPACS menasihatkan semua penjawat awam agar mematuhi garis panduan ini demi menjaga integriti dan profesionalisme perkhidmatan awam," katanya seperti yang dilapor Harian Metro.
Akan dikenakan tindakan jika langgar peraturan
Menyentuh mengenai jumlah penjawat awam dikenakan tindakan kerana melanggar Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Adnan berkata, pihaknya tidak mempunyai akses berkaitan perkara itu.
"Namun, kami difahamkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mempunyai rekod serta mekanisme pemantauan terhadap perkara ini.
"Apa yang lebih utama, CUEPACS menggesa semua penjawat awam agar sentiasa mematuhi etika dan tatakelakuan yang digariskan dalam perkhidmatan, termasuk ketika menggunakan media sosial, demi menjaga maruah dan reputasi perkhidmatan awam di mata rakyat," katanya.
Adnan juga menyeru semua penjawat awam agar terus mengekalkan tahap profesionalisme tinggi dan menggunakan media sosial sebagai alat positif untuk menyampaikan maklumat yang membina serta bukannya mencemarkan nama baik jabatan atau kerajaan.
"Integriti dan fokus terhadap tugas adalah asas kepada keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam negara," katanya.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video