GAYA HIDUP
“Asal Jaga Dengan Ihsan, Tak Salah’ – Ini Penjelasan Ustaz MAIS Isu Anak Muslim Dijaga Bukan Islam
Tindakan individu bukan beragama Islam membesarkan anak Muslim bukan satu kesalahan selagi ia dilakukan atas dasar ihsan dan menjaga kebajikan kanak-kanak tersebut.
Penjelasan itu diberikan oleh Ketua Bahagian Dakwah dan Pemasaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ustaz Mohammad Salleh Abdul Saha dalam satu temu bual bersama Radio Zayan baru-baru ini.
Katanya, konsep kasih sayang merentas agama ini pernah berlaku dalam sejarah Islam menerusi kisah Abu Talib yang menjaga Nabi Muhammad SAW walaupun tidak memeluk Islam.
“Dalam kaedah ini, kita kena faham ia berlaku atas dasar ihsan. Abu Talib menjaga Nabi sungguh-sungguh walaupun tidak masuk Islam. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, perkara ini tidak pelik, contohnya apabila ada warga bukan Islam menjaga anak Melayu dan membesarkan mereka dengan baik serta patuh pada Islam,” katanya.
Beliau turut merujuk kisah benar seorang lelaki Cina dikenali sebagai Uncle Mike yang membesarkan tiga anak yatim piatu berbangsa Melayu dengan penuh tanggungjawab dan hormat terhadap agama anak-anak tersebut.
“Ada yang Melayu, Cina, India. So tak pelik kadang-kadang ada juga dalam kes bila mana seorang warga, contoh ada orang Cina ni menjaga seorang anak Melayu, contoh nya kisah Uncle Mike.
“Dia jaga anak Melayu. Bila jaga anak Melayu, sehingga anak itu membesar dengan baik dan anak itu menjadi orang yang baik. Dan patut kepada agama juga iaitu agama Islam itu sendiri.
“Semangat begini jika ada dalam kalangan rakyat Malaysia, insya-Allah masyarakat kita akan lebih kuat dan harmoni,” ujarnya.
Untuk info, kisah inspirasi Uncle Mike itu turut diangkat ke layar perak menerusi filem Abah Saya Uncle Mike.
Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Etika Sdn. Bhd. ini menyentuh emosi penonton dengan tema kasih sayang, kekeluargaan dan perpaduan merentas bangsa dan agama.
Dalam naskhah bergenre drama yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 28 Ogos ini, pelakon Andy Teh baka; memegang watak sebagai Uncle Mike, seorang lelaki berbangsa Cina yang secara tidak sengaja terlibat dalam kehidupan tiga beradik yatim piatu berbangsa Melayu iaitu Rafie, Rasyid dan Rahman.
Filem ini diangkat daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, seorang lelaki berbangsa Cina yang membesarkan tiga anak yatim piatu Melayu sejak kecil, lengkap dengan bimbingan rohani dan penghormatan kepada agama Islam.
Dedikasi dan kasih sayang tulus yang ditunjukkan Uncle Mike dalam membesarkan mereka telah menyentuh hati rakyat Malaysia dan mendapat pengiktirafan tertinggi apabila beliau menerima Anugerah Maulidur Rasul 2024 daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas jasa serta pengorbanannya.
Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama strategik Etika Sdn. Bhd. itu mengetengahkan tema kekeluargaan dan semangat perpaduan, menjentik emosi penonton menerusi mesej bahawa kasih sayang sejati tidak mengenal warna kulit atau darah daging.
Menampilkan pelakon Andy Teh bersama gandingan muda berbakat besar seperti Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur, Abah Saya Uncle Mike turut menggunakan bahasa Melayu, Mandarin dan Kantonis bagi mencerminkan kepelbagaian latar masyarakat Malaysia.
Sinopsis Abah Saya Uncle Mike:
Rafei, anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu, cuba melarikan diri dari rumah anak yatim yang penuh dengan penderaan bersama adik-adiknya demi mencari kehidupan yang lebih baik.
Namun, apabila mereka dipisahkan dengan kejam, Rafei diselamatkan buat sementara oleh seorang lelaki berbangsa Cina yang baik hati, Uncle Mike.
Dalam usahanya untuk menyatukan kembali keluarganya, ketiga-tiga beradik dan Uncle Mike akhirnya terpaksa berdepan dengan makna sebenar sebuah keluarga dan menyedari bahawa ‘Keluarga Bukan Sekadar Pertalian Darah’.
Must-Watch Video