HIBURAN
“Apa Yang Saya Nampak Adalah Kuasa Perceraian Di Tangan Wanita” - Edika Yusof
Pelakon, Edika Yusof meluahkan pandangannya tentang perceraian yang semakin meningkat dalam kalangan selebriti tanah air.
Kata Edika, 58, berdasarkan pemerhatiannya, kebanyakan kes perceraian pasangan selebriti masa kini sering dimulakan oleh pihak wanita.
“Saya nampak dikalangan artis artis, kes perceraiaan makin melonjak. Kadang-kadang kes perceraian mereka bukanlah satu masalah besar tapi perlu dibesarkan. Sekarang ni apa yang saya nampak adalah kuasa perceraiaan ni di tangan wanita,” katanya kepada Gempak.
Edika berkata demikian ketika hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Persekutuan, Kuala Lumpur bagi sebutan semula kes cerai yang difailkan Nor Hidayah.
Tambahnya lagi, aktor itu berkata dia percaya kaum lelaki juga perlu memperkasakan hak mereka agar tidak terus dipandang lemah dalam perundangan mahupun perhubungan.
“Sebagai lelaki, kita perlu perkasakan hak kita supaya kuasa kembali berada di tangan kita. Saya pun tidak terkecuali. Mungkin ada kesilapan daripada saya juga, sebab semua orang tahu menjaga individu yang mengalami masalah kesihatan mental bukanlah satu perkara mudah.
“Saya dah cuba untuk beri penjelasan dalam mahkamah tadi, tapi nampaknya tidak mahu didengari,” ujarnya.
Ditanya mengenai adakah dia sudah bersedia untuk melepaskan isterinya, Nor Hidayah, Edika menyatakan keputusan untuk melepaskan pasangan bukanlah satu bentuk kekalahan, tetapi satu bentuk kelegaan dan jalan menuju ketenangan.
“Kita bukan tewas. Bila kita sayangkan seseorang, dan kita lepaskan dia, itu bukan kalah. Itu tandanya kita nak dia bahagia. Ini bukan pertandingan, tiada siapa menang atau kalah.
“Ini adalah satu pengadilan untuk menentukan apa jalan terbaik. Bagi saya, ini satu kelegaan sebab saya dah lepaskan kerisauan yang membelenggu saya selama ini. Anak-anak pun sekarang dah besar dan pandai berdikari, jadi saya boleh fokus semula pada kerja saya,” katanya lagi.
Untuk rekod, Edika dan Nor Hidayah sah bergelar suami isteri pada 2003.
Hasil perkongsian hidup pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21 dan Fereena Nurulhaq, 20.
Must-Watch Video