HIBURAN
Anuar Zain & Keluarga Reda Pemergian Bapa - "Sebenarnya Arwah Menghidap Kanser…"
Penyanyi, Anuar Zain meluahkan rasa syukur apabila segala urusan terakhir Allahyarham bapanya, Zain Abdullah dipermudahkan.
Menurut Anuar, segala urusan pengurusan jenazah bapanya dapat diselesai dalam tempoh lima jam.
“Alhamdulillah semuanya dipermudahkan urusan abah. Semuanya selesai kurang lima jam.
“Kata orang kalau urusan dipermudahkan, dia seorang yang dikasihi,” katanya.
Anuar Zain ditemui selepas selesai urusan pengkebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Elmina, Shah Alam Selangor.
Dalam pada itu, Anuar juga memberitahu bapanya sudah disahkan menghidap kanser sejak Disember tahun lalu.
“Sebenarnya arwah menghidap kanser prostat dan sudah merebak. Sebelum ini sudah menerima rawatan. Cuma pagi tadi dia alami cirit-birit.
“Tapi saya boleh katakan dia pergi sudah tiba masanya. Kami sekeluarga reda pemergian arwah,” ujarnya.
Terdahulu, Allahyarham Zain disahkan meninggal dunia di kediaman mereka di Subang Permai, Selangor sekitar pukul 2.50 petang.
Arwah menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun.
Must-Watch Video