HIBURAN
‘Anta Permana’ Jadi Pilihan Raja Charles III, Siti Nurhaliza Hampir Ingat Kena Tipu - “Mula-Mula Rasa Seperti Biar Betul”
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui dia pada mulanya tidak percaya apabila mengetahui Anta Permana menjadi antara lagu pilihan Raja Charles III.
Ingat tipu
Namun Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, berasa yakin dan mempercayainya selepas dimaklumkan oleh pihak pengurusan Universal Music Malaysia dan Apple Music pada Selasa lalu.
"Saya berterima kasih atas penghargaan ini, saya tahu tentang perkara ini semalam (Selasa), mula-mula rasa seperti biar betul, rasa macam kena tipu.
"Tapi perkara ini disahkan sendiri pihak Apple Music dan dimaklumkan oleh Univrsal Music. Alhamdulillah saya gembira untuk lagu Malaysia kerana terpilih menjadi antara lagu pilihan Raja Britain," katanya kepada Gempak.
Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharunya berjudul Raya Nak Ke Mana? yang diadakan di Pavilion, Kuala Lumpur pada Rabu.
Bukti karya
Penyanyi berusia 46 tahun ini juga melihat kejayaan Anta Permana yang menjadi antara lagu pilihan Raja Charles III bukti karya muzik tempatan mempunyai keunikan tersendiri.
Siti berkata, pencapaian lagu Anta Permana ini disifatkan sebagai satu penghormatan buat pembabitan kerjaya dalam bidang muzik.
Malah Siti turut memuji komposer dan penulis lirik tempatan yang disifatkan sama hebat dengan nama-nama besar di luar negara.
"Komposer kita ini sebenarnya hebat, kita boleh menembusi pasaran antarabangsa, cuma mungkin tidak terlalu didedahkan.
"Disebabkan itu bila kita bertanding di luar negara, kita selalu dapat perhatian dan akan pulang membawa kejayaan.
"Lenggok Melayu ini sebenarnya sedap didengar, Alhamdulillah saya rasa ini sebagai satu penghormatan, tak sangka dalam banyak-banyak lagu, terselit juga satu karya dari Malaysia," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Aisha Retno Impi Kembalikan Era Tradisional Siti Nurhaliza - “Saya Yakin Ramai Yang Rindu…”
ARTIKEL BERKAITAN: Anta Permana Tersenarai Dalam 'The King’s Music Room', Lagu Pilihan Raja Charles III
ARTIKEL BERKAITAN:“Tak Perlu Segan Untuk Minta Maaf & Mengaku Khilaf” - Siti Nurhaliza
Pada Selasa, Siti memuat naik hantaran di laman Instagram mengucapkan penghargaan atas pemilihan lagu Anta Permana dalam senarai lagu pilihan Raja Charles III.
Luah Siti, dia bersyukur dan tidak menyangka karya tersebut mendapat perhatian golongan Diraja negara berkenaan.
Lagu Anta Pemana menjadi salah satu daripada muzik pilihan Raja Charles III sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel.
Senarai lagu tersebut telah dikumpulkan menerusi platform Apple Music dengan tajuk His Majesty King Charles III’s Playlist.
Selain Siti, antara artis antarabangsa lain yang berada dalam senarai itu ialah Raye, legenda muzik Grace Jones, ikon reggae Bob Marley, serta diva pop Diana Ross.
Must-Watch Video