HIBURAN
Anggap Sedekah, Rhoma Irama Tak Minta Duit Royalti Pada Penyanyi
Industri hiburan Indonesia sedang hangat dengan polemik dan ‘perseteruan’ antara golongan pemuzik meminta bayar royalti kepada komposer atau diberi izin secara percuma menyanyikan lagu-lagu yang telah diciptakan untuk penyanyi.
Sejak isu ini tercetus beberapa bulan lalu, masih belum ada jalan penyelesaian kerana setiap pemuzik memiliki pendapat masing-masing.
Salah seorang yang kini ikut memberi izin penyanyi yang menyanyikan lagu miliknya tanpa perlu membayar royalti adalah legenda Rhoma Irama.
Pesohor dangdut yang telah menciptakan banyak lagu popular ini dengan terbuka mengatakan memberi izin kepada sesiapa pun yang ingin menyanyikan lagu miliknya tanpa rasa bimbang.
Rhoma Irama menyifatkan keizinan yang diberi sebagai satu bentuk sedekah. Beliau berkata demikian agar penyanyi khususnya penyanyi dangdut tidak bimbang untuk menyanyikan lagu miliknya.
"Orang sedekah tidak harus dengan material saja," ujar Rhoma dalam tayangan di YouTube Rhoma Irama Official seperti dilaporkan Kompas.
Beliau juga berkata: “Saya secara peribadi memberi izin semua penyanyi dangdut di seluruh dunia menyanyikan lagu saya, Saya tidak akan minta duit. Saya tidak akan minta bayaran. Tak perlu bimbang.”
Namun pemilik lagu seperti Keramat, Ghibah, Aduhai dan Gala-Gala itu menegaskan keputusan membenarkan orang lain membawa karyanya tanpa perlu membayar royalti kepadanya sebagai keputusan peribadi.
Rhoma Irama malah memberitahu tindakan yang dilakukan oleh para komposer menuntut hak atau bayaran royalti kepada penyanyi yang ingin menyanyikan lagu mereka adalah sah di sisi undang-undang.
Terdahulu, Ahmad Dhani antara penyanyi dan komposer yang melarang artis lain seperti Once dan Judika menyanyikan lagu yang pernah dihasilkan olehnya buat mereka jika tidak membayar royalti.
Sementara ramai penyanyi termasuk Rossa tidak melihat penyanyi lain menyanyikan lagu mereka tanpa membayar royalti sebagai satu masalah.
Must-Watch Video