Akibat Lama Tidak Berlakon, Remy Ishak Alami Masalah Takut Berjumpa Orang; “Saya Kena Kembalikan Semangat Saya…”
Gara-gara terlalu lama tidak melakukan penggambaran disebabkan pandemik Covid-19, pelakon Remy Ishak mendedahkan dirinya berdepan masalah gementar dan takut untuk berdepan dengan orang ramai.
Bagaimanapun, kata Remy, masalah tersebut harus diatasi agar semangatnya tidak hilang.
“Memang benar saya mengalami masalah itu (gementar & takut) sehingga saya nak jumpa orang rasa macam tak berani, namun saya cuba kawal sebaiknya.
“Nak kata anxiety saya pun tak pasti, namun ia terjadi sewaktu zaman pandemik dahulu. Mungkin disebabkan lama sangat tak shooting dan tak berjumpa orang, bila keluar shooting semula rasanya itu agak lain.
“Walaubagaimanapun, saya tak boleh terus dengan keadaan begini, kena lawan juga. Kalau saya kalah mungkin hilang.
“Untuk 2023, ini saya nak kembalikan semangat saya. Perasaan gementar itu masih ada, kalau wartawan interview pun masih rasih shaky,” katanya kepada Gempak.
Remy berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Harum Malam yang bertempat di Starling Mall, pada Isnin.
Berkongsi mengenai lakonan Remy dalam filem tersebut, aktor berusia 40 tahun itu menyifatkan filem arahan Dain Said sebagai sebuah naskhah yang mempunyai jalan cerita cukup berbeza daripada kebanyakan filem seram sedia ada.
“Filem ini sangat details, daripada awal sampai akhir. Ia bukan sekadar filem hantu yang mahu menakutkan orang ramai.
“Semua babak yang saya lakonkan memang saya suka, cumanya kalau pilih satu, saya suka babak atas meja kemudian tetak watak Farah sampai berdarah guna parang.
“Itu memang tak pernah saya buat dalam mana-mana drama atau filem sebelum ini. Itu antara salah satu watak agresif daripada segi fizikal yang saya lakukan.
“Ini filem seram pertama untuk 2023, saya harap akan dapat sambutan dan diterima oleh semua penonton seluruh Malaysia,” ujarnya.
***
Selain Remy, Harum Malam turut dibintangi Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein. Filem ini juga memperkenalkan bakat-bakat muda yang menyinar seperti Idan Aedan, Arnie Shasha dan Angelica Petra.
Harum Malam berkisarkan pergelutan hidup Iqbal, seorang remaja dan pelatih perubatan tradisional yang mampu melihat makhluk ghaib pada mata kasar manusia. Keupayaan luar biasa ini mengakibatkan Iqbal sering diganggu makhluk dan ancaman dari dunia alam ghaib sehingga sukar untuk Iqbal membezakan antara realiti dan ghaib. Satu peristiwa telah menyebabkan rakan-rakan dan keluarga Iqbal terdedah dengan makhluk ghaib yang amat merbahaya. Tanpa mempunyai pilihan, Iqbal terpaksa menggunakan kebolehan istimewa ini untuk melawan makhluk tersebut.