HIBURAN
Aisha Retno Trauma Bila Sebut Soal Konsert - “Saya Rasa Impak Dia Sangat…”
Penyanyi, Aisha Retno akui masih lagi trauma untuk bercakap mengenai perancangan untuk menganjurkan konsert solonya.
Jelas Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, insiden pembatalan konsertnya pada tahun lepas benar-benar memberi impak yang besar dalam kehidupannya sebagai anak seni.
“Saya masih trauma sebenarnya, banyak benda yang buat saya rasa down dalam industri ni salah satunya adalah konsert. Sampai sekarang jika ada yang bertanya saya tak berani nak bercakap mengenainya.
“Dengan kes yang pernah terjadi sebelum ini, saya rasa impak dia sangat besar dan ia juga mengubah personaliti saya,” katanya ketika ditemui Gempak.
Pada masa sama, pelantun lagu Samudera itu turut menyatakan tidak mahu memikirkan soal penganjuran konsert terlebih dahulu.
Bagaimanapun, sekiranya ada rezeki yang datang dia hanya akan hadir dengan mini showcase sahaja.
“Saya rasa mini showcase dahululah, saya tak berani nak cakap kalau ada yang nak sponsor pun mungkin saya akan buat mini showcase sahaja,” ujarnya.
Aisha Retno ditemui di The Roomah Restaurant Publika ketika menganjurkan Rumah Terbuka Raya bersama sepupunya, Sophia Albarakbah.
Untuk rekod, konsert Aisha yang dijadualkan berlangsung pada 16 November 2024 anjuran Kharisma Music International telah dibatalkan ekoran tiada sambutan memberangsangkan.
Penganjur konsert Yuka Kharisma menjelaskan dia pernah bersua dengan Aisha bagi membincangkan hala tuju konsert berkenaan.
Menurutnya jumlah tiket yang terjual hanya 98 tiket daripada lebih 2,000 tiket ditawarkan kepada audiens.
Must-Watch Video