HIBURAN
Aeril Zafrel Takkan Buat Kandungan Negatif, Risau Anak Kena Tempias - “Saya Risau Jika…”
Pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel enggan menghasilkan kandungan jelik atau negatif demi menaikkan kembali namanya dalam industri.
Risau Anak Kena Tempias
Menurut Aeril, 38, dia enggan membuat demikian kerana risau memberi impak dan tempias kepada keluarga terutama anak-anaknya.
“Saya cuba untuk tidak lakukan perkara yang negatif walaupun saya tahu ia boleh menaikkan jumlah tontonan di media sosial.
“Tapi saya risau jika saya lakukan ia akan terpalit pula pada anak-anak,” katanya kepada Gempak.
Aeril ditemui pada sesi temu bual selepas tayangan perdana filem lakonannya, Laknat di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, malam tadi.
Aeril yang diberi julukan Presiden TikTok itu juga mengakui dia kini sudah kurang membuat kandungan video di media sosial seperti sebelum ini.
“Media sosial sebenarnya ada kelebihan dan kekurangannya tapi yang tak bagus apabila benda buruk yang kita buat. Perkara yang kita buat itu orang akan ingat sampai bila-bila.
“Saya dahulu memang aktif di TikTok tapi sekarang dah kurang aktif sebab tak larat.
“Tapi tak dinafikan, sesetengah orang sengaja cipta sesuatu isu atau konten untuk naikkan tontonan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, suami kepada pelakon, Wawa Zainal itu turut memberi pesanan agar pempengaruh tidak menghasilkan kandungan yang bersifat sensitif atau negatif semata-mata untuk meraih populariti dalam tempoh singkat.
“Sekarang ini saya tengok perkara itu sudah menjadi satu trend. Bila seseorang tu dah mula 'sendu' dan tidak dikenali, mereka akan buat sesuatu untuk tarik perhatian orang ramai. Mungkin dari situ boleh mendatangkan pendapatan untuk individu tersebut.
“Kalau kita ada terdetik nak berbuat demikian, kalau boleh lupakan lah niat tu.
“Sebab kita pun tahu, kalau benda positif memang susah nak viral,” katanya.
Filem Laknat yang dibintangi pelakon Aeril Zafrel, Puteri Balqis, Jalil Hamid, Amirul Affendi, Norkhiriah, Naque Ariffin, Mila Mohsin dan ramai lagi itu bakal ditayangkan 5 Jun ini.
Must-Watch Video