HIBURAN
Adegan Panas Dalam Drama, Jaja Ishak Punya Pendirian Sendiri; "Kreativiti, Tanggungjawab Harus Seiring"
Penerbit drama Jaja Ishak tampil mempertahankan keputusannya menampilkan adegan panas dalam drama terbitannya, dengan menyatakan ia adalah langkah berani yang diambil demi menyampaikan mesej bermakna kepada masyarakat.
BERITA TRENDING: Jaja Ishak Tak Percaya Artis Kontroversi Boleh Naikkan Rating Drama! - "Saya Tak Nak Pening Kepala"
Menurut Jaja, dunia hiburan bukan semata-mata berperanan sebagai sumber hiburan, tetapi juga sebuah medium penting yang mampu membangkitkan kesedaran terhadap isu-isu sosial yang sering diabaikan."Saya akui setiap penerbit mahu drama mereka mendapat sambutan, tetapi apa yang lebih penting adalah impak kepada masyarakat.
"Saya sentiasa percaya setiap cerita mempunyai tanggungjawabnya sendiri. Jika sesuatu isu itu penting untuk diangkat, kita harus bijak menyampaikannya tanpa mencetuskan provokasi.
"Saya mahu penonton bukan sekadar menonton, tetapi turut berfikir dan mengambil pengajaran daripada jalan cerita yang dipersembahkan," ujarnya.
Jaja berkata demikian ketika diminta mengulas kontroversi yang melibatkan dua drama terbitan sebuah produksi tempatan yang menerima kecaman susulan paparan beberapa adegan panas.
Kontroversi tersebut mencetuskan perbincangan hangat di kalangan penonton, khususnya berkenaan garis sempadan dalam pembikinan drama tempatan.
Menjelaskan pandangannya, Jaja menekankan bahawa penerbit harus bijak menyeimbangkan antara keberanian dalam berkarya dengan rasa tanggungjawab kepada penonton.
"Kita boleh membawa sesuatu yang berani, tetapi harus ada cara yang betul. Kreativiti dan tanggungjawab harus berjalan seiring.
"Saya yakin penonton sekarang bijak dalam menilai sesebuah karya, namun penerbit perlu peka dalam memastikan kandungan yang disampaikan tidak tersasar daripada matlamat asal," tambahnya.
BERITA TRENDING: Pernah Viral Cover Lagu Dawai, Iman Darwasy Teruja Hiburkan Orang Pahang! - "Ini Kali Pertama Saya ..."
BERITA TRENDING: "Kalau Pelakon Sendu & Berlagak, Penerbit Pun Berhak Ada Pilihan Sendiri" - Jaja Ishak
Dalam perkembangan terkini, Jaja yang juga pemilik Jaja Ishak Channel Sdn Bhd bakal muncul dengan sebuah lagi naskhah berjudul Rahsia Kelabu, sebuah telefilem yang dijadualkan tayangannya di TV3 pada Sabtu ini.Naskhah arahan Isma Yusoff itu bakal menampilkan gandingan pelakon hebat seperti Khatijah Tan, Kamal Adli, Nelissa Nizam, Hazrat Muaz dan Boy Ibrahim.
Must-Watch Video