HIBURAN
“Adakah Saya Akan Mati Dalam…” - Julia Farhana Kongsi Detik Cemas Alami Trauma Klaustrofobia Ketika Penggambaran
Pelakon, Julia Farhana mendedahkan dia mengalami trauma klaustrofobia buat pertama kali ketika menjalani penggambaran sebuah drama pada tahun 2020.
Menurut Julia atau nama sebenarnya Julia Farhana Marin, 31, insiden itu berlaku apabila dia perlu melakonkan babak di dalam bonet kereta yang tertutup, menyebabkan dia berasa panik sehingga hampir tidak dapat bernafas.
"Masa itu, direktor suruh saya masuk dalam bonet kereta. Saya pun masuk saja. Tapi bila mereka tutup bonet, tiba-tiba segalanya jadi gelap.
"Dalam bonet itu ada seorang jurukamera bersama saya untuk merakam babak tersebut. Tak lama selepas itu, saya mula rasa sukar bernafas dan terus beritahu dia. Saya minta mereka buka bonet itu, tapi tiba-tiba mereka cakap tak boleh buka!
"Waktu itulah saya mula panik. Saya fikir, 'Adakah saya akan mati dalam bonet kereta ni?' Saya dah menangis minta tolong. Rupa-rupanya, bonet kereta itu terkunci sebab mereka tak buka kunci di bahagian hadapan.
"Bila mereka dah unlock dan saya dapat keluar, badan saya terus jadi lemah. Itu kali pertama saya alami serangan panik disebabkan klaustrofobia," katanya kepada Gempak ketika ditemui di majlis Fiziwoo Raya25 Collection Iftar Soirée di Bukit Setiawangsa, Kuala Lumpur baru baru ini.
Trauma Berulang Ketika Penggambaran Aksi
Namun, insiden itu bukanlah kali terakhir Julia berdepan dengan fobia tersebut.
Baru-baru ini, dia sekali lagi mengalami serangan panik ketika perlu memakai topeng oksigen dan turun ke dalam lubang bawah tanah.
BERITA BERKAITAN: “Jangan Salah Faham, Bukan Amal Konsep 'Child Free'” - Julia Farhana Pilih Pakai IUD, Mahu Fokus Belajar Sampai PhD
BERITA BERKAITAN: Khusyuk Kemas Rumah, Puasa Julia Farhana Hampir Terbatal - “Haus… automatik cari jus oreng”
"Kali ini saya bawa watak sebagai anggota JPAM yang perlu masuk ke bawah tanah untuk selamatkan orang.Bila saya pakai mask oksigen pun saya dah mula rasa tak selesa, tapi saya cuba kawal perasaan sebab saya tak nak cakap 'tidak' kepada pengarah.
"Tapi, sebaik sahaja saya terjun ke dalam lubang, saya terus kena serangan panik! Saya cuba kawal pernafasan, tapi badan saya mula rasa lemah. Saya terus cakap kepada kru yang saya tak okay. Masa tu, semua orang kelam-kabut nak tarik saya keluar.
"Tapi pakaian keselamatan yang saya pakai tak boleh dibuka, dan saya tersekat hampir 10 minit sebelum mereka berjaya keluarkan saya," jelasnya.
Dapat Bimbingan Atasi Fobia
Selepas insiden itu, pengarah meminta Julia untuk tidak meneruskan babak tersebut demi keselamatannya.
Bagaimanapun, Julia tetap mahu mencabar dirinya untuk menyelesaikan penggambaran serta mengatasi ketakutan yang dialaminya.
"Saya rasa sedih sebab tak dapat buat babak itu dengan sempurna. Nasib baik ada seorang anggota JPAM yang mengajar saya cara mengatasi trauma.
"Dia cakap kalau nak lawan fobia, kita kena duduk dan rasai ketakutan itu. Kita kena faham apa sebenarnya yang buat kita takut sangat.
"Saya ikut nasihat itu, dan akhirnya saya berjaya habiskan babak itu walaupun masih dalam ketakutan.
"Sejak tahu saya ada klaustrofobia, saya terus usaha rawat diri sendiri. Saya belajar psikologi, jadi saya tahu trauma ini sebenarnya berpunca dari minda kita sendiri," katanya lagi.
BERITA BERKAITAN: Syura Badron Fobia Nak Masuk Dapur Lepas Insiden Gas Masak Meletup, Syukur Suami Dah Keluar Hospital - “Rasa Takut Setiap Kali Nak..."
BERITA BERKAITAN: Hafiz Hamidun Akui Tidak Fobia Untuk Berkahwin Sekali Lagi - “Kalau Ada Rezeki…”
Julia juga percaya mungkin ada pengalaman masa kecil atau insiden dalam penggambaran SALON yang menyebabkan dia mengalami fobia tersebut.
Namun, dia kini berusaha untuk mengatasi ketakutannya satu demi satu agar dapat terus memberikan yang terbaik dalam setiap lakonan.
Must-Watch Video