BERITA
Ada 13 Rekod Jenayah Lampau, Pemuda UMNO Akan Tetap Bela 'Abang Belon'
Pemuda UMNO menegaskan mereka akan tetap memperjuangkan keadilan untuk mana-mana individu yang dizalimi termasuk 'abang belon' walaupun mereka memiliki lebih 100 rekod jenayah lampau.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya tidak akan berganjak dalam usaha menuntut keadilan untuk abang belon meskipun lelaki tersebut dikatakan mempunyai 13 rekod jenayah lampau.
Exco Kerajaan Negeri Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, menegaskan apa yang penting dalam kes berkenaan abang belon adalah mangsa ketidakadilan dan dizalimi.
"Pemuda UMNO membela abang belon bukan sebab 13 rekod jenayah lampaunya, tetapi kerana dia telah dizalimi ketika dia menjalankan perniagaannya, dia diperlakukan dengan cara yang kasar dan tidak bermaruah.
"Kalau ikutkan pentaksub ini orang yang ada rekod jenayah lampau, boleh dizalimi sampai bila-bila.
"Saya juga ingin menegaskan biarpun seseorang memiliki 100 rekod jenayah lampau tetapi itu bukan memberi lesen untuk kita menzalimi dan mencederakan abang belon," katanya dalam satu kenyataan melalui satu klip video yang dimuat naik di TikToknya pada Sabtu.
Terdahulu, memetik sumber yang mendedahkan semakan mendapati, penjaja belon tersebut dikatakan mempunyai 13 rekod jenayah lampau, kebanyakannya berkaitan dengan kesalahan dadah.
Sebelum ini, media melaporkan berlakunya kekecohan di Jalan TAR apabila serbuan oleh DBKL terhadap peniaga tanpa lesen bertukar menjadi pergaduhan.
Insiden itu membawa kepada reaksi Pemuda UMNO yang berikrar untuk terus menuntut keadilan bagi abang belon yang didakwa diperlakukan secara kasar oleh sekumpulan anggota penguat kuasa DBKL.
Sementara itu, Dr Akmal menjelaskan, tuduhan yang mengatakan Pemuda UMNO membela abang belon secara melulu tanpa menyemak latar belakangnya adalah tidak benar.
Berikutan itu, Dr Akmal membidas beberapa pihak yang mencemuh tindakan pihak tertentu yang menyifatkan Pemuda UMNO ‘bodoh’ dan tidak teliti dalam membuat keputusan.
"Jika kita mengikut apa yang dikatakan oleh pentaksub, mereka mahu orang yang mempunyai rekod jenayah dizalimi rasanya ramai menteri tidak boleh memegang jawatan berkenaan lagi.
"Ini adalah satu pandangan yang tidak wajar. Rekod jenayah lampau seseorang tidak boleh dijadikan lesen untuk menzalimi mereka," tegasnya lagi.
Justeru, Dr Akmal menegaskan Pemuda UMNO konsisten dalam memperjuangkan keadilan untuk abang belon, tanpa mempedulikan tuduhan atau kecaman daripada mana-mana pihak.
"Jika yang terlibat adalah anak menteri atau anak tauke besar dengan rekod jenayah termasuk kes dadah, namun kamu diam dan membisu sahaja. Tetapi apabila melibatkan orang miskin seperti abang belon ini, mereka dihina dan dicemuh.
"Justeru, Pemuda UMNO tetap akan membela kes abang belon, tidak kira dia mempunyai 100 rekod jenayah lampau sekali pun. Itu masalah dia dulu, namun kita akan membelanya kerana ketidakadilan dan kezaliman menimpanya," katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa dua daripada tiga kertas siasatan berhubung insiden membabitkan abang belon dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dipetik sebagai berkata, kertas siasatan tersebut melibatkan Seksyen 186 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan, iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan sengaja menyebabkan kecederaan parah.
Manakala, siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah pula masih menunggu maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video