FILEM
Acha Septriasa Anggap Watak Azizah Dalam Qodrat 2 Sangat Personal dan Bermakna - “Ada Yang Tanya Kenapa Saya Terlalu Menangis”
Pelakon, Acha Septriasa mengakui bahawa penglibatannya dalam filem seram Qodrat 2 memberikan impak yang sangat mendalam dalam karier lakonannya.
Menerusi watak Azizah yang dilakonkan, Acha menyifatkan ia sebagai karakter paling dekat di hatinya sepanjang penglibatannya dalam dunia seni.
“Perjalanan saya menemukan Azizah sama seperti saya menjalani kehidupan sebagai Acha.
“Saya rasa ini adalah karakter paling mendalam saya pernah bawakan dalam karier saya.
“Ada yang bertanya kenapa saya terlalu menangis kerana saya merasakan saya menaruh hati terhadap karakter itu. Karakter ini sangat personal,” kongsinya penuh emosi.
Watak Azizah ternyata membuka ruang buat Acha bukan sekadar untuk menunjukkan kehebatan lakonan, malah menyentuh sisi peribadi yang jarang dikongsi kepada umum.
Filem Qodrat 2 bukan sekadar filem seram biasa, tetapi menyentuh elemen spiritual yang sangat dekat dengan masyarakat kita.
Untuk info, filem Qodrat 2 terbitan MAGMA Entertainment dan Astro Shaw ini masih mengikuti perjalanan Ustaz Qodrat (Vino G. Bastian) selepas menyelamatkan Alif daripada cengkaman Asuala.
Kali ini, tumpuan beralih kepada usahanya mencari isterinya, Azizah (Acha Septriasa) yang mengalami kemurungan selepas hilang akidah.
Berbeza dengan Qodrat (2022) yang masih penuh misteri, filem kedua ini menyajikan kisah yang lebih mendalam dan perlahan-lahan menyingkap latar belakang keluarga Qodrat.
Dengan visi sedemikian, pengarah, Charles bijak memutuskan untuk mengubah sudut pandangan bercerita. Tumpuan kini beralih kepada Azizah, isterinya.
Saksikan Qodrat 2 yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Must-Watch Video