FILEM
Acha Septriasa Alami Tekanan Psikologi, Produksi Ubah Gudang Jadi Penjara… Ini Fakta Menarik Filem Qodrat 2!
Filem Qodrat 2 bukan sekadar filem seram biasa. Di sebalik adegan-adegan mencemaskan dan penuh misteri, tersembunyi pelbagai cerita menarik dari balik tabir pembikinan filem ini.
Salah satunya datang daripada pelakon utama, Acha Septriasa, yang mengakui wataknya sebagai Azizah merupakan antara cabaran paling besar dalam kerjayanya.
Alami Tekanan Psikologi
Menurut Acha, peranan sebagai Azizah sangat mencabar sehingga memberi kesan kepada keadaan psikologinya sendiri. Dia berkongsi pengalaman sewaktu menjayakan adegan ‘melotot’ yang muncul dalam sembilan minit pertama trailer Qodrat 2.
Cerita Acha, dia menerima arahan khusus daripada Pengarah Sinematografi, Mas Hani, untuk menzahirkan ekspresi kegelisahan yang benar-benar terasa oleh penonton.
“Kameramen saya, Mas Hani, cakap pada saya, ‘Acha, adegan ini adalah sembilan minit pertama. Awak kena pastikan buka mata luas-luas, sebab saya nak tengok dari dalam jiwa awak. Kegelisahan tu mesti nampak jelas,’” ujar Acha.
Akibat tuntutan emosi yang tinggi dalam babak tersebut, Acha perlu menyelami perasaan tertekan dan gelisah secara mendalam. Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada kesihatan mentalnya selepas penggambaran.
Bina Set Dari Kosong
Antara fakta unik yang jarang diketahui tentang Qodrat 2 ialah lokasi penggambarannya. Menariknya, produksi filem ini tidak menggunakan lokasi sebenar, sebaliknya semua set dibina dari kosong!
Menurut Acha, pihak produksi menyewa tiga buah gudang besar dan mengubah menjadi lokasi seperti penjara, lorong-lorong, bilik tidur, hinggalah ke gua misteri.
“Lokasinya semua dibina dari awal oleh pasukan rekaan produksi. Memang betul-betul dibina, dari gua, lorong, bilik semuanya adalah set yang direka khas,” kongsi Acha.
Gudang yang digunakan itu pula bukan calang-calang saiznya dianggarkan seluas 1,000 meter persegi! Ini membolehkan kru produksi mengawal sepenuhnya suasana penggambaran, pencahayaan, dan kesan visual mengikut kehendak babak.
Enam Kali Jeritan
Satu lagi momen mencabar buat Acha berlaku di penghujung trailer, apabila wataknya, Azizah, menjerit memanggil nama Qodrat.
Siapa sangka, babak ini memerlukan rakaman berulang kali hingga enam kali percubaan, mengambil masa hampir dua jam!
“Itu adegan yang paling banyak ambil masa. Saya sampai naik geram sebab kena ulang-ulang. Saya pula yang salah sebab tak pandang ke atas masa take pertama,” cerita Acha sambil ketawa kecil.
Filem terbitan MAGMA Entertainment dan Rapi ini masih mengikuti perjalanan Ustaz Qodrat (Vino G. Bastian) selepas menyelamatkan Alif daripada cengkaman Asuala.
Kali ini, tumpuan beralih kepada usahanya mencari isterinya, Azizah (Acha Septriasa) yang mengalami kemurungan selepas hilang akidah.
Berbeza dengan Qodrat (2022) yang masih penuh misteri, filem kedua ini menyajikan kisah yang lebih mendalam dan perlahan-lahan menyingkap latar belakang keluarga Qodrat.
Dengan visi sedemikian, pengarah, Charles bijak memutuskan untuk mengubah sudut pandangan bercerita. Tumpuan kini beralih kepada Azizah, isterinya.
Saksikan Qodrat 2 yang bakal ditayangkan di Malaysia pada 17 April ini di pawagam seluruh negara.
Must-Watch Video