HIBURAN
Abby Abadi Nekad Lawan Syarikat Tekstil Didakwa Menipu, Tak Gentar Selepas Terima Surat Saman - “Nak Turun Naik Mahkamah Sangat Kan”
Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi tampil mempertahankan diri selepas menerima surat tuntutan (Letter of Demand – LOD) daripada sebuah syarikat tekstil yang didakwanya pernah cuba menipunya dalam urusan tempahan tudung milik anaknya, Marrisa Dania Hakim.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, menyatakan bahawa dia tidak akan tunduk, sebaliknya nekad untuk melawan semula pihak berkenaan yang didakwanya semakin berani walaupun telah menerima pelbagai laporan polis.
“Kita lawan scammer! Berlebih-lebih sangat scammer dalam Malaysia ni. Tak takut undang-undang langsung.
“Mentang-mentang dah berpuluh laporan polis dibuat, tapi masih tak ada tindakan. Sekarang bila saya viralkan, mereka pula nak saman saya kononnya memfitnah dan mengaibkan,” tulis Abby.
Abby turut mempersoalkan tindakan pihak berkenaan yang dilihat ‘kantoi’ menipu namun mahu memusing keadaan seolah-olah dirinya bersalah.
“Kalau bukan betul, kenapa mereka bayar balik duit saya? Itu maknanya memang berlaku cubaan nak scam saya. Cuma kali ni mereka kalah.
“Tipu sana sini, tapi bila kantoi dan diserbu, terus nak pusing cerita kata difitnah. Tak apa, kita tengok apa yang dikatakan fitnah itu. Surat tuntutan daripada mereka dah pun diserahkan kepada peguam saya untuk tindakan lanjut,” tulisnya lagi.
Bukan itu sahaja, Abby turut menyeru mangsa lain tampil memberikan sokongan dan bersiap sedia untuk berdepan di mahkamah.
“Nak turun naik mahkamah sangat kan? Okay jom. Semua mangsa Logica.tex bersedia ya. Proses ini akan ambil masa, tapi saya akan teruskan. Tunggu update saya nanti!”
Terdahulu, Abby mendedahkan dirinya menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat tekstil dikenali sebagai Logica.tex apabila tempahan tudung untuk perniagaan anaknya, Marissa Dania tidak disiapkan dalam tempoh yang dijanjikan.
Tempahan tersebut dikatakan dijanjikan siap dalam tempoh dua minggu, namun selepas dua bulan, hasilnya masih belum diterima.
Malah, syarikat terbabit juga memberi pelbagai alasan ketika mahu memulangkan wang deposit berjumlah RM9,900.
Isu menjadi lebih panas apabila Abby mendedahkan bahawa pihak terbabit bukan sahaja gagal melunaskan tanggungjawab, malah kini menghantar LOD atas alasan kononnya difitnah dan tindakan Abby telah menjatuhkan reputasi serta mendatangkan kecederaan emosi kepada anak-anak mereka.
Bagaimanapun, Abby menegaskan dia tidak gentar dan akan meneruskan proses undang-undang bersama peguamnya bagi mempertahankan hak serta memberi pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.
Must-Watch Video