80 Buah Rumah Terjejas Akibat Bajir Kilat Di Sungai Buloh
Sebanyak 80 buah rumah di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh, Selangor terjejas banjir kilat pada Rabu.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 6.31 pagi.
"Komander operasi yang tiba di lokasi mendapati banjir berkedalaman kira-kira 0.9 meter melibatkan 80 buah rumah.
"Bagaimanapun, banjir semakin surut dan tiada pemindahan mangsa dilakukan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu dalam kejadian berlainan, sepasukan BBP Bukit Jelutong juga dikejarkan ke Jalan Industri 4, Kampung Baru Sungai Buloh selepas menerima panggilan banjir kilat pada jam 5.01 pagi.
Kata Ahmad Mukhlis, enam buah rumah terjejas banjir yang berkedalaman kira-kira 0.6 meter.
"Tiada permindahan mangsa yang dilakukan kerana penduduk tidak mahu berpindah. Air menunjukkan trend penurunan," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian